Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Wednesday, September 7 | Wednesday, September 07, 2011

PILU...Ahmad  hanya mampu melihat rumahnya yang musnah.
PILU...Ahmad hanya mampu melihat rumahnya yang musnah.


PASIR GUDANG: Akibat memandang ringan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang dihantar seorang janda dua anak, keluarga seorang pemandu lori, Ahmad Yaacob, 58, dan dua jirannya di Jalan Asli, Taman Pasir Putih di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, penghuni ketiga-tiga rumah itu sedang tidur apabila kediaman masing-masing dijilat api tetapi semua mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Kebakaran dikatakan dari ruang tempat letak kenderaan kediaman Ahmad.
Menurut Ahmad, mereka keliru sama ada kejadian berlaku secara kebetulan atau angkara bekas teman wanita anaknya yang dikenali menerusi laman sosial facebook.

“Ini kerana, wanita terbabit pernah menghantar SMS berbaur ugutan termasuk mahu membakar kediaman kami.

“Dia mula berdendam kerana kami memintanya keluar selepas sebulan menumpang di rumah ini. Kami tidak sangka akibat memandang ringan ugutannya sebelum ini, mengakibatkan kami sekeluarga selain jiran menjadi mangsa hingga hilang tempat tinggal,” katanya, semalam.

Mengimbau kejadian, menurut Ahmad, dia baru saja masuk tidur di tingkat bawah, manakala tiga lagi anaknya tidur di tingkat atas.

Katanya, dia sedar selepas dikejutkan dengan bunyi letupan seperti mercun sebelum terhidu bau asap menyelubungi rumah berkenaan.
“Saya keluar dari bilik dan mendapati api sudah marak hingga merebak ke dalam rumah. Saya menjerit mengejutkan anak di tingkat atas untuk menyelamatkan diri.

“Kami menyelamatkan diri menerusi pintu belakang kerana api marak menghalang laluan depan.

“Kebakaran turut memusnahkan van dan empat motosikal yang berada di halaman rumah termasuk wang tunai RM1,000 milik anak yang disimpan di dalam van berkenaan,” katanya.

Ahmad yang rugi lebih RM100,000 akibat kebakaran itu tidak menolak ia angkara khianat dan bukan disebabkan litar lintas memandangkan api bermula dari bahagian depan kediaman mereka.

Malah selepas kejadian, Ahmad memaklumkan, jiran memberitahu mereka melihat seorang lelaki berbadan sasa menunggang motosikal sambil membaling objek ke arah kediamannya.

Ahmad kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian di Balai Polis Taman Pasir Putih, petang semalam.

Anak perempuannya, Nur Nabilah, 21, turut mengesyaki kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan dendam seorang wanita terhadap keluarga mereka apatah lagi jiran ternampak sebuah motosikal berlegar di depan rumah mereka sebelum kejadian.

“Kami tidak menuduh tetapi mengesyaki ia adalah perbuatan seorang wanita berusia 27 tahun juga kenalan abang yang dikenalinya menerusi facebook.

“Kami meminta wanita terbabit keluar dari rumah selepas dia menumpang lebih sebulan sejak Julai lalu. Selepas itu wanita berkenaan pernah menghantar SMS berbaur ugutan kepada abang saya dan menyatakan mahu membakar rumah kami selepas dia keluar dari sini,” katanya.

Menurut Nabilah, sebelum itu, wanita terbabit memaklumkan hanya mahu menumpang buat seketika sementara menunggu mendapat kerja. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Datuk Maulizan Bujang, ketika melawat ketiga-tiga keluarga turut menghulurkan bantuan peribadi berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga.

Pada masa sama, setiap keluarga berkenaan turut menerima sumbangan RM1,000 daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi meringankan beban mereka, semua 15 mangsa berkenaan ditempatkan sementara di Flat Kejiranan 8 di Taman Air Biru, Pasir Gudang, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Kami akan membantu mangsa dari semasa ke semasa bagi memastikan nasib mereka terbela,” katanya.

Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 2 Mohd Salleh KVP Mohamed berkata, punca sebenar kebakaran masih disiasat.

Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor