Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Saturday, June 7 | Saturday, June 07, 2014



Tunangku Tidak Tampan.
Part 29 ( Season 3 )
-----

Hari ketiga.

Dah masuk hari ketiga jejaka 18 tahun itu direman untuk siasatan. Diikutkan akta reman, maksima tempoh reman boleh mencecah 14 hari selagi pihak berkuasa tidak berpuas hati dengan hasil siasatan.

Zam sudah penat disoal siasat. Berkali-kali dia tegaskan, bukan dirinya yang merancang segala plot. Bukan dia yang menyalakan api. Bukan dia yang membunuh Faizal. Tapi, apakan daya. Bukti dengan lidah tak bertulang, siapa yang nak percaya? Tanpa alibi yang kuat, lelaki itu berhadapan dengan hukuman berat. Lebih-lebih lagi, umurnya sudah cukup 18 tahun sejak bulan Februari lepas.

Layanan yang diterima dalam lokap polis berbeza. Polis-polis ada yang melayannya dengan baik. Ada juga yang melayannya dengan bengis. Perwatakan setiap orang berbeza. Fikrah pun berbeza. Polis yang melayaninya dengan baik, percaya budak lelaki itu tidak bersalah. Manakala, layanan buruk yang diterimanya adalah dari polis-polis yang nyata sudah mengenalinya berdasarkan rekod lampau. Dulu-dulu dia pernah ditahan merempit bersama kawan-kawan. Bukan sekali, malahan beberapa kali. Cubaan lari dari sekatan jalanraya pihak polis juga direkodkan bersama. Rekodnya tidak bersih. Oleh kerana kotornya rekod, dia disoal siasat dengan jerkahan, tengkingan, diselangi tamparan oleh pegawai yang tidak mampu mengawal kemarahan.

Zam tabah. Dia tidak marah. Tidak salahkan pihak polis. Memang kerja mereka. Memang salah dirinya tidak mempunyai rekod yang baik. Kerja polis memang punyai tekanan yang tinggi. Bukan kesnya saja, banyak lagi kes lain untuk diselesaikan. Tambahan rupanya iras penjenayah berprofil tinggi. Sementelah, kesnya terkait dengan arahan pihak atasan. Semuanya bercampur aduk menyebabkan pegawai-pegawai yang diarahkan menangani kesnya stress. Orang atasan beri tekanan pada pegawai tinggi. Pegawai tinggi pula beri tekanan pada pegawai rendah dan seterusnya. Tekan menekan yang akhirnya semua orang tertekan.

Zam berfikir. Andai dengan manusia pun sudah bermasalah begini bila rekod kita buruk. Apatah lagi depan Allah kelak di akhirat. Kita datang dengan rekod dosa mengatasi rekod pahala. Ditimbang di neraca pengadilan kelak di hadapan seluruh manusia menyaksikan kita. Malunya tidak terkata. Sesal melebihi malu. Malu dengan Allah. Malu dengan Rasulullah. Pasti Rasulullah s.a.w. sedih melihat umatnya banyak berbuat dosa. Enggan ingat pada Allah. Enggan ikut sabda Rasulullah. Akhirnya dikunci mulut di akhirat. Kulit dan seluruhnya di jasad menjadi ganti lidah berkata-kata. Menyenaraikan segala kesalahan satu persatu. Tidak perlukan saksi dan peguam bela atau pendakwa raya. Di akhirat, diri sendiri adalah saksi terkukuh perbuatan jahat di dunia!

Bila teringatkan akhirat, hati Zam tergugat kuat. Bimbangnya melebihi kebimbangan yang sedang dihadapinya pada saat itu. Sebenarnya, dia sudah pasrah dengan segalanya. Baginya, dunia sudah lagi tidak bermakna apa-apa kepada dirinya.

Dia tak punya apa-apa lagi di dunia ini. Ayahnya dah meninggal. Ibunya jua dah pergi. Abangnya yang disayangi pun sama. Kejadian yang baru menimpanya ini pula meragut nyawa kawannya yang dikasihi, abang jaga. Apa lagi erti hidup ini? Di sekolah, tiada sesiapa yang mempercayainya selain Cik Yuyu, teacher dan Sufi. Tetapi, apalah daya mereka. Zam tidak mahu menyusahkan sesiapa. Dia lebih rela memilih penjara berbanding dunia yang penuh curiga.

Sekolah sepatutnya menjadi tempat melindungi para pelajar. Namun, dipolitikkan sehingga dirinya sekarang dipandang jelek kawan-kawan di sekolah. Para guru telah lama menyisihkannya. Masyarakat sekeliling yang tidak tahu cerita sebenar sudah tentu menghukum pesalah semahunya. Lihat saja berita di laman sosial misalnya, orang ramai menilai dari sekeping gambar dengan pelbagai kutukan. Andai gambar itu memaparkan orang itu berbuat kesalahan jelas, tiada komen yang murni dan positif bakal diterima. Majoritinya suka menghukum dari berlapang dada dan menilai kesahihan berita. Sebab itulah, mesej berantai masih bergerak segar di kalangan masyarakat. Hadis-hadis palsu pun sama. Masyarakat seperti span, mudah menyerap segala berita tanpa usul periksa.

Zam merebahkan dirinya di atas lantai yang tidak beralas. Lokap sementara itu berbau hamis dan hanyir. Busuk bau badan manusia. Hancing pun ada. Sudah 3 hari juga, seleranya hilang. Makanan yang disediakannya tidak disentuh. Hanya minum air menghilangkan haus tekaknya.

Pintu lokap dibuka.

Seorang lelaki disumbat ke dalam sel yang sama dengan Zam.

"Mulai hari ini, kau temankan budak gengster ni. Sampailah kes kau selesai."

Pegawai yang bertugas kembali mengunci lokap.

Lelaki itu tersungkur. Tertiarap di sebelah Zam.

Zam bangun bersila.

"Kau okay ke?"

Lelaki itu tertiarap lemah. Zam cuba membalikkan badan lelaki itu. Biar baring dengan betul. Zam tiba-tiba terkejut besar setelah berjaya membetulkan posisi lelaki tersebut. Terpandang raut wajah di depannya itu. Terbeliak mata Zam.

"Kau....?"

"Aa...Abang...Abang jaga.."

Macam tak percaya.

Jejaka itu seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya di depan mata. Abang jaga hidup kembali?

"Siapa abang jaga?"

Lelaki itu bersuara. Nampak dia kepenatan. Ada kesan lebam-lebam mungkin baru lepas dipukul orang.

Zam tersedar dari lamunan. Lelaki di depannya itu bukanlah abang jaga. Cuma wajahnya iras sangat dengan abang jaga. Zam tersenyum sendiri. Ditatapnya lama-lama wajah lelaki itu. Rindu. Zam rindu dengan arwah abang jaga.

"Boleh aku peluk kau?" Zam macam nak nangis. Sebak menusuk hati.

Lelaki itu terpinga-pinga. Namun, dibiarkan saja Zam memeluk erat tubuhnya. Dia dah tak berdaya setelah penat dipukul orang.

Zam menangis jua akhirnya. Menitik air matanya membasahi bahagian bahu lelaki itu.

"Kau dah kenapa?"

Lelaki itu menolak Zam perlahan-lahan. Zam menyeka air matanya. Dalam suara serak basah dia bersuara,

"Kau. Wajah kau sama sangat dengan arwah kawan baik aku. Dia baru saja meninggal akibat kebakaran di sekolah. Aku di sini adalah atas tuduhan cuba membakar sekolah dan cubaan membunuh orang. Sedangkan aku tak buat semua tu. Aku tak sanggup bakar sekolah aku sendiri. Aku tak sanggup bunuh kawan sekolah aku sendiri. Aku berada di sini sebab..."

"Difitnah. Betul tak?"

Lelaki itu laju mencantas kata-kata Zam.

"Aku pun sama."

Zam duduk bersila depan lelaki itu. Mendengar penuh minat.

"Apa yang dah berlaku?"

Lelaki itu duduk bersandar. Menghela nafas panjang.

"Kerja aku jual burger.

Aku buka gerai kecil jual burger di kampung ni. Sudah 3 bulan aku menyewa tapak di depan sebuah restoran yang agak maju. Tiap-tiap bulan aku kena bayar RM600 kepada tuan restoran. Gerai burger tu aku bina sendiri dari duit hasil simpanan aku. Hasil dari aku jual motosikal aku. Lepas 3 bulan aku meniaga di situ, jualan sangat laris. Tiba-tiba, minggu lepas datang pegawai majlis daerah dengan beberapa pembantunya datang kerumun gerai burger aku. Mereka suruh aku beralih dari situ. Aku jawab pada mereka, aku menyewa tapak di situ. Gerai burger tu aku punya. Mereka minta dokumen pengesahan yang itu gerai aku. Aku tak ada semua tu. Mereka kata, mereka terima laporan dari tuan restoran, gerai burger tu milik restoran. Aku diminta serahkan kembali pada tuannya. Pegawai tu siap tunjukkan bukti berdokumen bahawasanya gerai itu sah milik tuan restoran..."

Zam bersuara,

"Apa jadi, kau tak melawan?"

Abang burger mendengus.

"Aku lawan. Sebab tu aku di sini. Aku tegaskan aku nak gerai burger tu. Aku boleh beralih dari tapak tu tapi dengan gerai. Bukan tanpa gerai. Mereka tak bagi. Mereka rantai besikan gerai aku. Mereka pukul aku bila aku melawan. Lalu, apa yang aku buat? Setelah restoran tu tutup kedai di sebelah malam, aku bakar gerai burger aku sendiri. Aku musnahkan harta milik aku sendiri. Natijahnya, tuan restoran mengamuk. Dibuatnya laporan polis. Aku diberkas dan disumbat dalam ni. Yang lebih menyedihkan, tuan restoran dengar khabarnya nak saman aku pula untuk menuntut ganti rugi gerai burger yang baru."

Zam menumbuk lantai.

"Celakalah orang-orang seperti ini!"

Abang burger cuma senyum.

"Biarkan.

Memang kita tak punya sesiapa untuk bela di dunia. Namun, bila kita ingat Allah adalah sebaik-baik Pembela di akhirat, hati ini rasa lega dan tenang sedikit. Doa orang yang dizalimi tidak pernah tertolak. Itukan janji Dia. Tidak mungkin Allah berjanji palsu terhadap hamba-Nya.

Sama saja seperti mana yang berlaku di negara-negara yang bergolak sejak dulu sampai kini. Bukan kerana Allah tidak respon. Bukan Allah tidak sayang orang-orang yang beriman di Palestin, Syria, Afghanistan dan yang lainnya. Kerana Dia sayanglah Dia syahidkan ramai di antara mereka supaya mereka terus ke Syurga. Supaya mereka ini semua memenuhi kebun-kebun Syurga yang indah di akhirat. Allah berikan jalan pintas. Kita yang berada dalam keadaan aman inilah yang patut bimbang. Kita dihisab dan dihitung segala dosa pahala. Beratur panjang. Itupun belum tentu masuk Syurga. Mana tahu kita adalah isi neraka?

Kerana itulah mereka yang gugur di luar sana demi Allah, pergi dalam keadaan senyum gembira. Bayangan Syurga sudah di mata.

Kita?"

Zam tersenyum mendengarkan kata-kata abang burger. Sebiji dengan arwah abang jaga dulu. Terasa Allah beri gantian setelah kehilangan. Zam tak sedar, tiada sesuatu pun yang Allah izinkan ianya berlaku kecuali ada hikmah di sebaliknya. Pelangi setelah hujan. Hujan setelah kemarau.

"Boleh aku tanya?"

Jejaka berparut itu sengaja menduga.

"Ya, silakan." Abang burger mengiyakan. Suasana dalam lokap makin suram. Azan Maghrib bakal berkumandang bila-bila masa.

"Aku pernah dengar ungkapan,

'Andai seseorang itu nak berubah, Allah akan hantarkan orang-orang yang baik untuk bantu perubahan dia.'

Betul ke?"

Abang burger memandang Zam. Lalu menjawab dengan nada sedikit lemah,

"Benar. Itu salah satu bentuk sangkaan baik kita pada Allah.

Tapi, tidak semestinya orang itu betul-betul hadir untuk bantu. Sepatutnya, kitalah yang cari orang-orang itu.

Misalnya, dalam perubahan, kita perlukan ilmu. Untuk dapatkan ilmu agama, kita kena cari ustaz atau ulama untuk tuntun jalan. Agar ada yang membetulkan sekiranya tersilap langkah. Kesungguhan dan usaha itulah yang Allah nak lihat. Bukan hanya mengharapkan keajaiban dari Allah semata-mata. Jangan jadi terlalu manja. Nak makan pun nak orang suapkan. Nak ilmu pun nak orang suapkan. Itu malas namanya.

Ada orang nak berubah, tapi dia harapkan Allah hantar orang-orang yang baik hati untuk bantu dia.

Dia harap, orang itu adalah bakal suami.
Orang itu adalah bakal isteri.

Harap dapat sahabat sejati.

Bila tak ada orang baik hati datang seperti diharapkan,
Dia kecewa.

Dia tak nampak, Allah dah lama hantar orang yang paling baik hati atas dunia ini untuk bantu perubahan dia.

Dia tak nampakkah orang itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri?

Mengapa dia nak abaikan Baginda yang sangat baik hati ini, dan mengharapkan ada orang baik hati yang lain datang?

Manusia lain menipu untuk sedapkan hati kita.

Tapi Allah dan Rasulullah berkata benar walaupun buat kamu terguris rasa.
Biar kamu terasa di dunia.

Tidak sengsara di akhirat sana."

Zam tersenyum girang. Seperti yang disangkanya. Abang burger saling tidak tumpah seperti abang jaga!

"Boleh kita jadi kawan?"

Zam menyoal lagi.

"Kenapa tidak?"

Abang burger tersenyum ringkas menampakkan giginya yang tersusun.

Usai azan Maghrib dilagukan, kedua-dua insan fakir itu kelihatan berdiri. Bersolat jemaah bersama-sama di atas lantai berdebu. Lantunan surah dibaca penuh syahdu.

Mereka tak punya apa-apa. Mereka tiada peguam bela. Mereka tiada siapa nak menjamin kebebasan mereka. Tiada siapa di belakang mereka.

Allah bukan tidak ada.

Di saat manusia hampa, bukankah Allah masih setia?
Mengapa harus kecewa?

***

Cik Yuyu termenung di sejadah usai solat Isyak. Muhasabah.

Dalam hati gundah.

"Zam, awak dah macam mana?"

Hatinya berbisik sendiri. Sejak jejaka itu masuk lokap, hatinya sangat risau. Seolah-olah isteri yang kehilangan suami. Tak tentu arah saja. Pada Allah sahajalah tempat mengadu nasib.

Petang tadi, dia menerima panggilan telefon. Dari Bro Sufi. Kawan kelas Zam. Katanya, dia menjumpai cebisan kertas berhampiran meja Zam. Cebisan kertas yang sangat penting. Mahu terhambur air mata Yuyu mendengarnya.

Cebisan nota ugutan palsu dari arwah Faizal kepada Zam. Ugutan akan mengapa-apakan dirinya. Zam pergi dapatkan Faizal adalah demi menyelamatkan nyawanya. Maruahnya.

"Allah! Lelaki itu..demi aku...!"

Yuyu rebah sendiri di sejadah dalam keadaan bertelekung solat. Tak tahu nak buat apa. Apa kudratnya untuk menyelamatkan Zam? Cebisan nota itu tidak mampu menjadi bukti kukuh untuk selamatkan Zam. Mungkin akan ditolak mentah-mentah oleh pihak berkuasa. Mungkin tiada siapa akan percaya. Yuyu tertekan sendiri.

Dia perlukan lebih alibi!

Buntu sendiri. Air mata bergenang. Ah. Perempuan dan air mata tidak dapat dipisahkan. Yuyu bangkit semula dari rebah. Dia mahu tabah. Dia mahu kuat.

Lantas dia bangun berdiri. Solat hajat. Mohon saja bantuan terus dari Allah! Itu fikirnya. Allah suruh solat dan sabar bila dilanda musibah. Penyelesai masalah adalah Allah. Apa yang mahu dilihat Allah adalah usaha, ikhtiar dan kesabaran saja. Yang memberikan kemenangan atau keselamatan hanya Dia!

Yuyu positif. Dia yakin apa yang berlaku ini cuma ujian tingkat iman buat Zam. Ujian tiba bila Allah sayang. Bila Allah nak uji hamba-Nya sayang atau tidak. Teringat kata-kata ustaznya. Sebagaimana dalam hadis yang disepakati kesahihannya oleh Bukhari dan Muslim,

"Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril seraya berkata, 'Aku mencintai si polan maka cintailah dia.' Jibril pun mencintainya kemudian berseru di langit, 'Allah mencintai si polan maka cintailah dia.' Penduduk langit pun mencintainya. Kemudian, dia pun dicintai di muka bumi."

Seorang yang soleh berkata, "Seorang hamba yang menghadap Allah dengan sepenuh hatinya, nescaya Allah akan menghadapkan hati kaum beriman kepada-Nya. Dia memberikan kurnia-Nya dalam rupa kasih sayang kaum beriman."

Yuyu optimis. Ini ujian kasih sayang Allah.

Soleh tidak tercapai semudah petikan jari. Ikhlas tidak digapai sesenang kerlipan mata.

Soleh dan ikhlas melalui tapisan demi tapisan. Waktu ini, Allah dengan izinnya mahu menapis saki baki sifat buruk dan bahagian hitam dalam hati seseorang.

Zam sedang melalui tapisan Allah.

Yuyu berdoa agar pemuda itu cekal sebagaimana cekalnya Nabi Yusuf di dalam penjara. Nabi Allah itu jua terpalit fitnah, namun dipilihnya penjara. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 33 dan 34 yang bermaksud,

"Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Tipu daya manusia, fitnah dari manusia, kata nista dari manusia.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Dia jualah yang menghancurkan segala fitnah dan tohmah.

Usah gentar pada fitnah manusia. Gentarlah andai diri sendiri berbuat fitnah di depan Allah. Ucap cinta pada Allah, tetapi berbuat maksiat di hadapan Allah. Itu jua fitnah. Ucap kasih pada Allah, tetapi mendedah aurat mengajak khalayak memandang fitnahmu.

Yuyu memandang ke luar. Dilihatnya langit malam. Tiada bulan dan bintang.

"Zam, awak jauh atau dekat, awak bersendirian atau berteman, kita menghadap Allah yang sama. Kita mengharap Tuhan yang sama. Kita rukuk dan sujud pada Maliki Yaumiddin yang sama!"

"Zam, jia you! Tersungkur 7 kali, bangkitlah 8 kali!"

Gadis itu tidak selemah yang disangka. Enggan layu lemah seperti gadis biasa yang rebah disapa putus cinta.

Mana mungkin seseorang manusia itu lemah bila seluruh jiwa disandarkan pada Tuhannya.

Yuyu dapat idea.

Yuyu ada misi.




www.nikibnorhafis.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor