Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Saturday, June 7 | Saturday, June 07, 2014


Tunangku Tidak Tampan.
Part 30 ( Season 3 )
-----

Pintu lokap dibuka. Pukul 2 pagi.

"Zam, kau ada pelawat."

Zam bangun berlengah. Kepalanya pening. Mana boleh sesiapa melawat masa ni. Hospital pun ada masa tertentu datang melawat. Inikan pula lokap. Ah. Peraturan ciptaan manusia!

"Cepat!"

Seorang pegawai polis menariknya keluar. Pegawai yang dia cam antara yang terbengis pernah menyoalnya. Jejaka itu menghidu sesuatu yang mencurigakan.

Digarinya tangan Zam.

"Kenapa gari?"

"Kau tak payah banyak soal. Aku lempang muka kau sampai pecah, nak?"

Zam diam tidak menjawab. Mukanya masam mencuka. Dalam hatinya bertawakkal.

Zam dibawa ke bilik soal siasat khas. Bukan bilik yang selalunya dia disoal. Bilik yang suram cahaya dimasukinya. Sejuk. Zam yang cuma berbaju lokap yang agak nipis dengan seluar bertali cerut menggigil sedikit.

Dia diarahkan duduk di kerusi yang disediakan. Tanpa meja seperti biasa. Seketika dia mendengar tapak kasut seseorang masuk.

"YB boleh mulakan sekarang. Kami ada di luar perhatikan. Kalau ada apa-apa, kami akan terus masuk dan uruskan budak ni."

Tahulah Zam. Yang datang itu bapa Faizal.

"Bangsat! Kenapa kau tak mengaku saja kau bersalah?!"

YB buka mukaddimah soal-siasat dengan tengkingan. Zam pandang mata YB. Tajam pandangannya.

"Saya dah kata dan berterus-terang. Saya tak bunuh anak tuan. Saya tak bunuh sesiapa. Saya tak bakar bangunan. Saya tiada niat buruk pada sesiapa!"

Zam menjawab agak tinggi tona suaranya.

"Menjawab!"

PANG!

Zam menerima tempelengan pertama. Berdarah bibirnya. Kuat juga tenaga orang tua ni. Gumam Zam sendirian.

"Kau sendiri kata kau rela dipenjara. Sekarang, kau tak nak mengaku pula?! Mengaku sajalah dan penjara jadi milik kau sampai kau tua baru boleh keluar!"

Zam cuba menjawab dalam keperitan.

"Saya tak kata pilih penjara dengan mengaku membunuh anak tuan. Saya rela dipenjara kerana difitnah membunuh!"

PANG!

Tamparan kedua singgah di muka jejaka yang sedia berparut itu. Berpinar sekejap matanya.

Zam gelak kecil.

"Heh. Tuan boleh pukul saya semahu tuan. Tapi, tunduk pada perintah tuan tidak sekali-kali. Saya cuma tunduk pada perintah Allah. Tapi sayang, tuan bukan Tuhan. Tuan cuma YB yang ada kuasa politik. Sedangkan tuan tak sedar kuasa politik Allah itu lebih dahsyat."

"Berceramah pula ya!"

YB hilang pedoman. Disepaknya Zam yang bergari. Terbaring jejaka itu di lantai. Tidak melawan.

Zam kesakitan. Mahu saja matanya bergenang dek sakit yang amat. Namun, ditahannya. Bilal bin Rabah sahabat besar Nabi s.a.w. pun tahan sakit pedihnya dijemur di atas padang pasir yang membahang sedang di dadanya diletakkan batu besar. Hanya sebutan "Ahad, Ahad" jadi basahan lidah. Zam mahu tabah seperti Sayyidina Bilal!

YB geram melihat jejaka itu. Geram kerana anak kesayangannya yang jadi harapan keluarga dibunuh oleh mamat gengster sekolah.

Tapak kasut YB ditekankan pada muka Zam. Dihimpitnya semahunya. Dipijak sekuatnya. Pecah bibir Zam. Terguris luka pipi Zam. Sakit bukan kepalang.

"Dasar budak tiada didikan mak ayah. Budak jalanan! Dasar mat rempit tak guna! Kenapa kau tak mampus masa dalam perut mak kau lagi?! Pergi sekolah buat apa kalau dah keputusan peperiksaan macam beruk dalam zoo!"

Dipijaknya berkali-kali muka Zam. Sesekali badan Zam ditunjal-tunjal. Disepak-sepak semahunya. Ditendang perut dan dada Zam sampai senak. Zam muntah darah.

"Patutlah mak ayah kau mampus dulu! Supaya tak perlu tengok anak tak guna macam kau!"

Zam cuba bangkit dalam kepayahan. Mahu menitis air matanya tatkala arwah ibu ayahnya yang tidak bersalah dikaitkan sama. Tak mampu bangkit. Tangan bergari di belakang menyukarkannya untuk bangun.

"Tuan jangan sebut mak ayah saya. Jangan sebut! Nak maki, maki saya!"

"Ah! Mak ayah kau sampah macam kau juga!" Disepaknya muka Zam. Terpelanting ke dinding. Bersembur darah keluar.

Jejaka itu menjegilkan mata dalam keadaan tak bermaya.

"Jangan sebut...jangan..."

Dipijaknya kembali sisi muka Zam. Menitis-nitis air mata Zam kali ini. Bukan kerana sakit yang dirasai. Tapi, hatinya tersiat-siat dilukai. Tak mampu membela ibu bapanya sendiri.

"Allah...Allah..."

Jejaka itu bertutur dalam kesakitan. Air matanya bercucuran.

"Allah.."

YB makin menggila. Diangkat kakinya tinggi. Dihentak laju-laju kakinya ke sisi muka Zam.

Jejaka itu tertewas. Pandangannya gelap. Telinganya cuma mendengar suara pegawai-pegawai menahan YB dari terus membantainya.

Zam diseret keluar dalam keadaan berlumuran darah. Gari dibuka. Dia disumbatkan kembali ke dalam lokap. Tanpa diubati sedikit pun luka. Kejamnya dunia.

Lokap dikunci semula. Dalam balai polis itu ada lokap besar dan kecil. Zam dan abang burger dalam lokap kecil. Lokap khas. Sebab melibatkan kes VVIP.

Abang burger mendekati Zam.

"Innalillahi wainna ilaihi raaji'un. Astaghfirullah. Tergamak mereka buat macam ni!"

Dikoyaknya baju lokap yang dipakainya. Dijadikan kain perca. Demi mengelap dan mencuci darah yang berlinangan keluar dari mulut dan hidung Zam. Bengkak muka jejaka itu dikerjakan. Memang tak ada hati perut.

Dipangkunya kepala Zam di ribaan. Disapu-sapu luka di muka Zam. Namun, darah tetap keluar. Dalam sungguh luka Zam.

"Pada budak sekolah pun mereka sanggup perlakukan sebegini rupa!"

Hampir-hampir saja menitis air mata abang burger. Tak tahan melihat anak yatim piatu itu dalam kesakitan. Suhu badan Zam meningkat. Abang burger agak, pemuda itu demam serta merta akibat sakit yang amat sangat.

Dipanggilnya pegawai di luar lokap minta bantuan. Namun, tiada siapa mengendahkannya. Digelakkan sahaja.

"Padan muka! Mat rempit takkan tak biasa makan tar jalan kot! Biasa la tu luka sikit-sikit. Haha!"

Abang burger teringat pada suatu hadis sahih cara pengubatan Nabi s.a.w. Bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w apabila ada seseorang manusia tergores kemudian luka, maka Baginda membaca doa kemudian air liurnya ditempelkan pada tangan kanannya, lalu diusapkan pada luka orang itu. Doanya,

"Allahumma Rabbannaasi Azhib al-Ba'sa, Ash-fihi wa-Anta al-Shaafii, La Shifaa-a illa Shifaauka, Shifaa-an La Yughadiru Saqaman."

Yang bermaksud, "Ya Allah! Tuhan segenap manusia, hilangkanlah sakit dan sembuhkanlahnya, Engkaulah Yang Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali dengan penyembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit (rasa sakit sedikitpun)." (Hadis Muttafaqun 'Alaih).

Dilakukannya kepada luka-luka di wajah Zam. Pengubatan penuh tawakkal pada Allah semata-mata. Inilah ikhtiar yang mampu dilakukannya. Doa jadi vaksin luka.

Zam mengaduh kesakitan selama sejam. Namun, seketika kemudian beransur-ansur reda. Akhirnya, pemuda itu terlena.

Abang burger lega. Diletakkan tangannya pada dahi Zam. Demamnya juga beransur kebah. Ajaib. Alhamdulillah. Tenang sedikit rasanya.

Diperhatikan ke luar lokap. Satu persatu wajah pegawai ditenungnya. Dalam hati berdoa,

"Ya Allah! Engkau sahajalah yang selayaknya membalas segala kezaliman. Aku serahkan segalanya kepada Engkau. Aku lemah selemahnya.."

Abang burger geram. Diucapnya zikir 'Hasbunallahu wanikmal wakiil' berkali-kali. Hanya Allah saja sebaik-baik penolong dalam apa jua keadaan sekalipun.

Terdengar suara Zam lemah mengigau.

"Ma...maafkan Zam.."

Hati abang burger sebak.

Pedih.

***

Cik Yuyu melangkah ke kelas demi kelas di waktu rehat.
Di tangannya ada sesuatu.

"Ini Tabung Kemanusiaan. Bagi membantu saudara seislam kita di sekolah ini yang anda semua dah kenal. Ya, Zam. Tabung ini diwujudkan untuk mengumpul dana upah peguam bela. Selagi tiada bukti beliau bersalah, tak boleh jatuhkan hukuman sesuka hati.

Siapa yang sudi, sila derma. Tak paksa. Tapi, tolonglah. Ikhlas kerana Allah."

Pelajar-pelajar nampak tidak tergerak untuk menyumbang. Sufi ke depan. Dimasukkan dalam tabung plastik buatan Cik Yuyu.

"Awak semua kena tahu. Zam adalah kawan yang baik. Memang dia gengster, tapi itu dulu. Percayalah sekarang dia dah berubah baik. Malah, dia join solat jemaah Zohor di musalla tau."

Sufi cuba menyakinkan kawan-kawannya. Menggunakan kredibilitnya sebagai naqib usrah yang disegani ramai. Maka, tampillah ahli-ahli usrah mula menghulurkan tangan memasukkan duit ke dalam tabung beramai-ramai.

Cik Yuyu ucapkan terima kasih kepada Bro Sufi. Sedikit sebanyak membantu dirinya. Dia beralih ke kelas lain pula. Aktiviti ini terpaksa dilakukan senyap-senyap tanpa pengetahuan guru.

Sampai ke kelas tingkatan 5.

"Tak payah nak derma sangatlah. Kitorang tahu kau tu skandal dengan Zam tak guna tu. Boo. Taknaklah derma!"

Pelajar-pelajar lelaki menertawakan gadis comel itu. Pedih juga telinganya.

"Tak kisahlah saya ni skandal dia ke, tunang dia ke, isteri dia ke. Saya sudi dan saya tak kisah dia siapa.

Saya bukan hakim yang menjatuhkan hukuman. Saya bukan Allah untuk menentukan orang itu ke Syurga atau Neraka. Anda ini pula siapa untuk menjadi juri seseorang? Allah lantik? Seseorang yang teruk tidak semestinya ke neraka dan begitulah sebaliknya. Jangan rasa diri terlalu mulia andai bangun malam bertahajjud pun sekali dua. Kita semua pendosa. Tidak lebih apa-apa!

Hari ini mungkin kita beramal dengan amalan ahli Syurga. Berlagak seperti soleh solehah. Lagak ustaz dan ustazah.Tapi esok, siapa tahu iman terbalik kuang, jatuh terlingkup!"

Cik Yuyu menjawab bengang. Namun masih sopan dalam sindiran.

Pelajar-pelajar lelaki geng Faizal laju-laju gelakkan gadis itu lagi. Bagi mereka, gadis itu tidak ubah seperti makcik-makcik tua yang berleter. Tidak perlu dengar pun.

Sebahagian pelajar perempuan dalam kelas itu bangun dan mulai menderma. Bukan kerana Zam. Tapi, mereka jelek dengan sikap pelajar lelaki yang tidak menghormati usaha kaum Hawa.

Cik Yuyu berterima kasih banyak kali kepada mereka yang sudi menderma.

Dia bergerak dari kelas ke kelas. Tanpa rasa malu. Biarlah orang nak kata apa. Ini perjuangannya sendiri. Biar dia yang bebas merdeka di luar lokap yang berikhtiar semampu boleh.

Tiba-tiba dia ditahan oleh seseorang.

Teacher.

"Awak buat apa ni Yuyu?"

"Tabung. Untuk Zam."

Teacher kaget seketika. Terkedu pada kesungguhan Cik Yuyu. Teacher nampak ketulusan hati gadis fotogenik itu dari dalam matanya. Teacher lantas mengeluarkan beberapa keping note dari beg tangannya. Dimasukkan semuanya dalam tabung.

"Thank you, teacher!"

Yuyu girang. Banyak juga disumbangkan teacher.

"Moga Zam berjaya dibebaskan. Amin."

"Amin!"

Cik Yuyu menjawab pantas.

"Yuyu, awak suka Zam ya?"

Langkah Yuyu terhenti dari beredar. Dilihatnya wajah manis teacher.

"Tulusly, lebih dari itu."

Cik Yuyu senyum menampakkan gigi arnabnya. Seraya berlalu meninggalkan teacher.

Teacher memandang Cik Yuyu dari kejauhan.

Pandangannya sedikit sayu.

Senyumannya yang tadi berseri.
Mulai hambar.





www.nikibnorhafis.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor