Powered by Blogger.
Islam Berkembang di ‘Premier League’
Written By Unknown on Friday, June 6 | Friday, June 06, 2014
”Demba Ba scored since 15 Ramadhan”
“He prays 5 times a day”
Serangkai sorakan bertali arus dilaungkan peminat di United Kingdom, ditujukan kepada insan yang sama tetapi berbeza tempat dan juga ketika.
“Demba Ba scored since 15 Ramadhan” laung penyokong Newcastle United di St. James Park melihat Demba Ba gembira meraikan jaringan ketika sedang berpuasa.
“He prays 5 times a day’ adalah ungkapan daripada sorakan khas untuk Demba Ba di Stamford Bridge ketika permainannya bersama Chelsea.
Mungkin terasa janggal kenapa perkara ini berlaku, bagaimana masyarakat di United Kingdom yang majoritinya bukan Islam menitikberatkan puasa dan solat dalam rangkap sorakan mereka seolah-olah mereka juga menjalankan kewajipan yang sama. Inilah yang kita nyatakan sebagai pengaruh.
Pengaruh cara hidup,adab,ketetapan beragama dan prinsip yang di bawa oleh pemain muslim sehingga masyarakat di sana turut mengetahuinya. Demba Ba merupakan salah seorang pemain yang boleh disandarkan untuk menjadi penyudah terbaik, biarpun tiada penampilan utama dalam pasukan Chelsea tetapi beliau tetap memainkan peranan dalam pelan jangka masa panjang Mourinho (Pengurus Chelsea).
Dalam artikel sebelum ini pastinya isu ketegasan pemain kelahiran Senegal ini dalam setiap situasi yang melibatkan hukum agama Islam dan prinsipnya menjadi hala tuju utama dan wajar untuk di contohi. Tapi kali ini kita bawakan lebih dekat pengaruh pemain muslim seperti Demba Ba mahupun pemain lain dan kesannya terhadap faktor persekitaran seperti Ultras (penyokong), pengurus antarabangsa, staf dan masyarakat mahupun penduduk setempat.
Ultras pastinya pemain kedua belas dalam setiap pasukan itulah perumpamaan yang selalu diungkapkan. Kini segalanya terbukti dengan wujudnya ‘chant’ atau ungkapan sorakan yang mengandungi unsur ibadah agama Islam yang ditujukan kepada pemain muslim seperti Demba Ba tidak kira ketika,tempat mahupun situasi.
Kepentingan ibadah yang ditonjolkan oleh Demba Ba membawa ingatan kepada penyokong mahupun peminatnya bahawa ibadah yang dilakukannya penting dalam kehidupan pemain muslim tersebut dan wajar diterapkan dalam bait-bait sorakan mereka. Ini membawa pengaruh yang positif kepada penyokong tentang agama Islam dan umatnya.
Alan Pardew contoh pengurus prihatin dan berpengalaman menguruskan pemain Muslim.
Bagi menyentuh faktor pengurusan, pemilikan dan pengaruh pemain muslim, kita mengambil contoh Alan Pardew (Pengurus Newcastle United) mengakui secara peribadi bahawa beliau mengambil kira kepentingan lapan orang pemain muslim yang menyertai pasukannya dan amat menghormati pendirian mereka setelah menimba pengalaman menguruskan pemain muslim seperti Demba Ba untuk musim dan kempen sebelumnya.
Ketika era Roberto Mancini sebagai pengurus kelab berbelanja besar Manchester City, bilangan pemain muda muslim yang direkrut bertambah seperti Abdul Razak dan Karim Rekik. Pemain-pemain ini kebanyakannya dipinjam ke kelab luar bagi memperoleh pengalaman dan mengembangkan bakat mereka.
Faktor pemilik saham terbesar di Manchester City yang berasal dari Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mansour juga memainkan peranan kerana semenjak pengambilan beliau isu keselesaan pemain muslim The Citizens lebih terjamin dan diambil kira.
Darsley Park Outdoor pusat latihan Newcastle United yang dilengkapi musolla.
Terbinanya surau di Direct Sports Arena (Newcastle United), penyediaan makanan ruji halal seperti ayam yang disembelih kepada semua pemain di Marseyside (Liverpool) demi menjamin kesihatan pemain muslim dan pemain-pemain yang lain, pemberian waktu untuk mengerjakan solat oleh kelab The Gunners (Arsenal), memberi gambaran jelas tentang hubung kait antara kepentingan pemain muslim dan pihak pengurusan kelab berpengaruh di liga Perdana Barclays.
Pegawai atau staf pasukan juga merupakan watak penting bagi perjalanan sesebuah pasukan begitu juga pasukan besar di liga Perdana Barclays. Tidak dinafikan ada juga antara pegawai mahupun staf yang berkhidmat untuk kelab-kelab ini beragama Islam. Sikap hormat terhadap larangan dalam agama bukan sahaja berlaku atau berinteraksi antara pemain malah pegawai dan staf kelab.
Pemain-pemain Liverpool menanggalkan jersi perlawanan yang terkena pancutan Champagne ketika meraikan kejohanan sebelum masuk ke bilik persalinan bagi menghormati seorang pegawai atau doktor muslim yang bertugas. Sikap ini wajar dicontohi dan diteladani oleh masyarakat yang prejudis terhadap Islam atau umat Islam sendiri sebagai peringatan menghormati agama lain.
Cara sambutan jaringan berbeza diamalkan oleh Demba Ba dan Papiss Cisse sewaktu bersama di Newcaslte United.
Terbiasnya pengaruh pemain muslim kita teruskan lagi dengan adegan atau sambutan jaringan yang biasa dilakukan pemain muslim di liga Perdana Barclays, seperti bersujud. Cara sambutan gol ini kerap dilakukan oleh Demba Ba dan rakan sepasukannya Papiss Cisse yang juga beragama Islam ketika di Newcastle United, yang akhirnya di contohi oleh kanak-kanak di kejiranan St. James Park atau Newcastle United ketika bermain futsal.
Mungkin bagi kanak-kanak ini mereka tidak tahu tujuan sujud itu dilakukan atau makna di sebalik tindakan tersebut tetapi jelas mempamerkan pengaruh budaya muslim dalam masyarakat di sekitarnya.
Pengaruh agama Islam yang dibawa oleh pemain-pemain muslim memberikan satu skop pandangan baharu terhadap Islam bagi masyarakat bukan Islam. Biarpun pengaruhnya tidaklah terlampau besar atau meluas tetapi tetap boleh di banggakan. Dengan pembawaan pengaruh budaya Islam dan interaksi dengan persekitaran yang baik, pastinya hilanglah sikap prejudis terhadap agama Islam,sikap anti-Islam dan sebagainya.
Tidak kita nafikan ini adalah antara permulaan dakwah secara dasar dan pemberian pandangan positif yang kita mahu sebagai muslim sejati. Sukan membawa banyak fadhilat di samping kesihatan fizikal,rohani dan keharmonian sejagat. Majulah sukan bersama syiar Islam, Insya Allah.
Sumber: http://www.harakahdaily.net/
www.nikibnorhafis.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
0 Org je Komen:
Post a Comment