Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Monday, May 12 | Monday, May 12, 2014

Tunangku Tidak Tampan. 
Part 22 ( Season 2 )
----- 

Zam baring tidak semangat.

Dua hari sudah berlalu di katil wad. Seleranya makin berkurang. Fikirannya masih teringat-ingat kejadian tempoh hari melibatkan pakcik tua. Namun, yang sudah pergi biarlah pergi.

"Kau dah kenapa, diam je?"

Abang jaga menyapa. Baru sampai di hospital. Malam tu dia tak kerja. Dah daftar sebagai penjaga Zam. Bolehlah dia temankan Zam sepanjang malam. Kalau dah kerja jaga, pergi mana-mana pun kena menjaga juga. Alahai.

Zam tak ada mood. Seraya menjawab,

"Kenapa sejak aku buat keputusan untuk berubah, macam-macam benda telah terjadi pada aku?"

Abang jaga tersenyum.

"Allah sedang menguji keikhlasan hati tu. Ucapkan kata nak berubah memang mudah. Tapi, nak betul-betul berubah, bukan semudah bicara. Allah nak tengok hamba-Nya ni betul-betul serius atau tidak nak berubah. Atau sengaja nak main-main dengan Dia. Kalau nak main-main, Allah mampu mempermainkan hidup kau lebih dahsyat dari apa yang kau mampu bayangkan terjadi.

Ingat. Segala yang terjadi adalah hidayah dari Allah. Penuntun hidup ke arah jalan yang lurus. Tak gembirakah kau Allah peduli setiap masa? Dia nak betulkan pemikiran kita. Biar lebih matang dalam memahami agama ini. Memahami selok-belok hidup ini.

Macam kau baca al-Quran. Ramai manusia baca al-Quran untuk dapatkan kelebihan dan fadilat. Bukan demi mendapatkan hidayat. Mereka nak kaya, mereka cari ayat-ayat pembuka rezeki. Mereka nak jodoh, mereka gali ayat-ayat berkaitan perkahwinan. Mereka nak kuatkan hujah pemikiran, mereka pergunakan ayat-ayat al-Quran demi kepentingan diri sendiri.

Kau pula macam mana? Nak jadi yang mana?"

Zam berpaling melihat abang jaga.

"Aku masih nak Syurga. Tidak berganjak sedikit pun. Banyak benda yang telah berlaku dah berjaya melunturkan hati keras ini ke tahap maksima. Buka mata aku tentang alam barzakh. Tentang alam akhirat. Walaupun aku belum berubah sepenuhnya, hati aku ni dah tak nak lagi kepada benda-benda tak baik. Dah hilang minat pada hobi-hobi tak berfaedah aku dulu.

Cuma, ya lah. Kadang-kadang aku rasa lemah sendiri."

Abang jaga senyum saja.

"Iman tu Zam memang turun naik setiap masa. Kalau kau jauh dengan al-Quran, iman tu menurun dengan cepat sekali. Bila kau lupakan Allah, iman akan makin tipis. Bila kau makan benda haram dari sumber yang haram, iman tu menghilang.

Hidup ni tak boleh langsung berenggang dengan al-Quran walaupun sehari. Kau bacalah Surah al-Mulk tiap kali sebelum tidur. Membantu kau dari azab kubur kelak, insya-Allah."

Zam nampak senyum sedikit.

"Kau cakap macam ni, aku jadi rindu pula nak sentuh al-Quran. Nak baca al-Quran."

Abang jaga ambilkan al-Quran mini. Diunjukkan pada Zam. Dikeluarkan juga satu lagi al-Quran dari beg sandangnya.

"Kita baca sama-sama. Kau nak surah mana?"

Zam tersengih-sengih. Dia senang dengan sikap abang jaga.

"Aku nak surah yang buat aku makin rindu pada Tuhan!"

Abang jaga blur seraya menjawab,

"30 juzuk ni kesemuanya menggebukan rindu dalam hati. Tidak ada satu surah pun yang tidak terkandung pujian kepada Allah. Disebutkan Allah Maha Pengampun, Maha Segala-galanya setiap kali dalam semua surah supaya hati kita terasa getarannya bila disebutkan nama Allah. Tak selalu baca, mana mungkin kita bertambah taqwa pada Allah. Mana mungkin bercambah rindu pada Tuhan andai tidak dibacakan ayat-ayat suci al-Quran.

Orang yang kata rindu Allah dan Rasul, tapi tak baca pun al-Quran. Tak cuba pun belajar hadis. Itukan orang yang menipu Allah, Baginda s.a.w. serta dirinya sendiri?"

Zam senyum lebar-lebar. Dia selalu seronok mendengar kata-kata abang jaga.

Damai dalam hati.

"Jom mula!"

**

Tengah malam.

Hari nampak nak hujan. Di ruangan wad hospital, ramai pesakit tengah beradu. Ada yang tidur setelah dimasukkan ubat. Ada yang tidur setelah penat menahan sakit.

Abang jaga berada di sebelah Zam.

Zam sudah tertidur.

Abang jaga lengkap dengan pakaian securitynya. Subuh-subuh lagi esok, dia kena kerja shift siang. Tekaknya sedikit dahaga. Lantas, dia bangun meninggalkan Zam yang sedang lena. Keluar dari wad. Berjalan mencari mesin minuman sejuk.

Sambil berjalan di sekitar kawasan hospital, dia terfikir kehidupan di hospital kadang-kadang boleh buat seseorang itu jadi lemah. Ya lah, setiap hari melihat orang-orang sakit di sekeliling. Hanya jadi bertambah sakit dalam suasana yang lesu tanpa motivasi. Tidak ramai orang yang datang ke hospital bergantung kepada Allah. Ramai bergantung pada ubat dan pertolongan doktor semata-mata. Jarang sekali ketika melewati wad demi wad, dia melihat pesakit baca al-Quran atau dibacakan al-Quran. Jarang sekali, pesakit diingatkan para doktor supaya banyakkan berzikir sepanjang tempoh terlantar di katil. Memang pesakit dalam keadaan darurat. Tapi baginya, berzikir atau berselawat secara perlahan tidak langsung beri mudarat. Sakit itu nikmat.

Hanya orang sakit mengerti nikmat sihat. Allah berikan sakit untuk mengembalikan ingatan kita yang selalu lupa kepada-Nya. Jarang syukur pada-Nya.

Sakit sebagai kaffarah dosa. Sakit sebagai benteng diri daripada berbuat maksiat. Jangan sangka orang yang tidak pernah merasa sakit di dunia, hidupnya sentiasa berjaya, kaya dan berharta, pangkat datuk datin diraja, tetapi sepanjang berbuat maksiat dan dosa itu dalam keadaan bahagia.

Apakah otak kita fikir, orang-orang yang berjalan ke arah neraka itu dengan senang-lenang, dengan penuh kegembiraan itu bahagia? Bahagia di dunia. Akhirat perit derita. Sihat dan senang buat kita alpa. Pada Tuhan yang memegang nyawa.

Abang jaga lalu di depan wad kecemasan. Lengang saja. Tak sibuk. Mungkin tak ada apa-apa kes. Doktor pun tak ramai yang on-call. Hanya kelihatan H.A. dan jururawat kadang-kadang lalu lalang.

Dia berdiri di hadapan mesin minuman dingin. Menyeluk poketnya mencari syiling.

Tiba-tiba sampai tiga van ambulans di sisinya. Keadaan agak kelam-kabut. Pemandu van ambulans turun tergesa-gesa dengan seorang pembantu setiap van.

"Guard! Cepat, bantu kami!"

Abang jaga terkebil-kebil. Mereka dah salah sangka abang jaga adalah guard di hospital. Mungkin kerana pakaian seragam yang dipakainya.

Abang jaga tak berlengah lagi. Segera menerpa ke arah mereka. Bantu turunkan mangsa-mangsa yang sedang berdarah teruk. Luka-luka seluruh badan.

Sambil mengangkat mangsa ke atas gurneys atau katil bergerak, abang jaga bertanyakan pemandu van,

"Apa dah jadi?"

"Kemalangan kereta dengan kereta. Empat pelajar. Kata saksi, mereka pelajar universiti tempatan. Bawa kereta laju. Masa kami sampai, radio kereta masih terpasang kuat. Bingit. Mungkin tengah layan lagu dan bergurau senda ketika memandu. Dua lelaki, dua perempuan dalam kereta. Belum nikah sebab macam awal 20-an baru. Kereta yang satu lagi tak dapat diselamatkan. Maut di tempat kejadian."

"Innalillahi wainna ilaihi raaji'un."

Malam itu, hospital kekurangan doktor pakar. Dukacitanya. Terpaksa tunggu setengah jam sementara menanti ketibaan para doktor termasuk pakar bedah. Jadi, nak tak nak, mangsa terpaksa dirawat luka-luka yang biasa dulu. Patah dan koyakan dalaman, kena tunggu.

Abang jaga diminta jururawat supaya membantu dalam wad kecemasan. Ada dua mangsa yang tidak mampu dikawal mereka. Meraung-raung dan meronta-ronta kesakitan. Seorang lelaki. Seorang lagi perempuan.

Abang jaga menghampiri mangsa yang lelaki. Minta dia bertenang. Abang jaga lihat kakinya sudah remuk. Sudah tiada kaki kanan. Tersepit dan putus. Darah berhamburan di katil. Abang jaga terpaksa pegang mangsa ketika jururawat letakkan ubat dan balut sementara. Kuat betul mangsa itu meronta.

"Tenang, tenang! Istighfar. Bawa mengucap!" Abang jaga cuba menenangkan.

"Kaki aku! Kaki aku! Tidak! Mana kaki aku?! Aku tak nak kudung! Tak nak!"

Menusuk ke dalam hati abang jaga. Pilu juga. Lantas abang jaga membacakan surah-surah lazim yang diingatinya beberapa kali secara perlahan kepada mangsa. Dalam keadaan ini, hanya Allah sahaja yang mampu menenangkan. Moga Allah tolong dia. Itu harapan abang jaga.

Sejurus dibacakan ayat-ayat al-Quran, sambil jururawat masih merawat kecederaan, mangsa lelaki tadi memegang tangan abang jaga kuat-kuat.

"Tolong aku! Tolong aku! Aku nampak lembaga menyeramkan datang menghampiri aku! Muka dia bengis! Macam nak bunuh aku! Tolong! Tolong bacakan al-Quran supaya dia pergi. Tolonglah. Aku tak pandai sangat baca al-Quran. Tolong weh. Aku takut sangat-sangat ni."

Merayu-rayu. Tangisan berderu.

Abang jaga tersentak. Tiada sesiapa di situ melainkan para medik dan abang jaga sahaja. Abang jaga bertanyakan cik misi mana letaknya al-Quran berdekatan. Diambilnya. Abang jaga duduk di sisi mangsa. Perlahan-lahan dibacanya Surah al-Baqarah di telinga mangsa.

Si mangsa menangis teresak-esak.

"Aku..aku..tak pernah pun orang bacakan al-Quran pada aku..Aku sendiri lupa aku letak di mana al-Quran. Sebulan sekali pun jarang aku pegang al-Quran. Aku sibuk dengan student life aku. Aku sibuk dengan awek aku. Aku sibuk dengan facebook aku. Aku sibuk layan nafsu dan buat maksiat. Aku sibuk dengan porno..Aku menyesal..aku menyesal..Allah.."

Abang jaga melihat keadaan mangsa sudah tidak keruan lagi. Diajarnya mengucap.

Mangsa sudah terbeliak matanya ke atas. Sayang sekali. Lafaz keramat, lafaz syahadah tidak mampu dituturkannya.

Abang jaga bantu menutup mata arwah.

"Allahummaghfirlahu warhamhu wa 'afihi wa'fu 'anhu. Moga Allah ampunkan dosanya. Amin."

Dalam hatinya, taubat ketika nyawa sudah berada di halkum, adakah diterima Allah lagi? Hanya Allah Yang Maha Menghakimi. Teringat kisah Firaun cuba buat u-turn kepada Allah ketika tenggelam di dalam laut.

Abang jaga beralih ke mangsa perempuan. Masya-Allah, kepalanya kopak. Hampir saja terlihat bahagian otaknya. Jururawat sedang berusaha sedaya-upaya memberhentikan darah dari terus mengalir keluar dari kepala.

Abang jaga mengagak mungkin mangsa adalah teman wanita si lelaki tadi. Dikeluarkan sarung tangan tebal miliknya. Dipakainya. Dia tak nak terpegang aurat pesakit. Cik misi suruh pegang kaki sebab kakinya meronta-ronta terenjat-renjat kesakitan yang maha dahsyat. Abang jaga dengar dengan jelas si mangsa perempuan ini bercakap sendirian, terkumat-kamit,

"Aku dah hafallah soalan-soalan dalam kubur! Aku tak takut mati! Kalau boyfriend aku mati, aku nak temankan dia sekali! Tak ada guna lagi aku hidup! Datanglah malaikat mungkar nakir tanya 'Man Rabbuka?', siapa Tuhan kamu sekalipun aku pasti boleh jawab. Sebab aku pelajar cemerlang! Aku hafal dalam kepala satu persatu. Aku yakin boleh mengucap! Haha!"

Abang jaga suruh mangsa beristighfar.

"Ingat Allah, dik. Ingat Allah. Astaghfirullahaladzim. Bawa mengucap. Ikut abang baca. Ash-hadu alla ilaa ha illallah. Wa ash-hadu anna Muhammadarrasuulullah.. Ikut dik."

Si mangsa perempuan ini yang tadi gelak-gelak sinis, tiba-tiba menangis tak berhenti. Kemudian meraung,

"Aku tak dapat mengucap! Tak dapat! Kenapa aku tak dapat mengucap ni! Tolong aku! Lidah aku ni dah kenapa?! Nurse!"

Seketika kemudian, mangsa itu diam. Putus nyawa. Tidak dapat diselamatkan.

Abang jaga melepaskan pegangannya pada kaki. Sebak dalam hati.

Benarlah apa yang dipelajarinya selama ini dari para ustaz, orang yang mampu mengucap di akhir hayatnya adalah orang yang ikut apa yang Allah suruh, tinggalkan apa yang Allah larang.

Hanya orang yang membiasakan lidahnya menyebut Allah, zikrullah iaitu mengingati Allah, tidak tinggalkan solat dan perkara yang fardhu serta punya hati yang tulus, merekalah yang mampu menyebut Allah di kala maut menjelma. Tak guna sebarang hafalan soalan. Yang berguna adalah solehnya amalan.

Khabar dukacitalah buat mereka yang sebaliknya. Janji Allah itu benar. Tiada yang lebih benar melainkan-Nya.

Abang jaga terasa lemah lutut melihat peristiwa merobek jantungnya di depan mata. Allah. Allah.

Terhuyung-hayang dia berjalan keluar dari wad kecemasan. Balik ke wad Zam. Terlupa tadi dia begitu dahaga sekali. Kini, kelu tidak terkeluar secebis pun kata-kata.

Benarlah kata Allah dalam al-Quran yang dia baca pada arwah mangsa lelaki tadi. Surah al-Baqarah ayat 94 hingga 96 yang bermaksud,

"Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): Kalau Syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar.

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya) dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah) dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan."

Abang jaga mengiyakannya dalam hati. Benarlah manusia tak dapat menerima hakikat mereka akan mati juga akhirnya. Tapi, manusia sentiasa tamak kepada hidup dunia. Bersuka-ria seolah-olah diri kita hidup selamanya.

**
Zam tersedar. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Hujan lebat di luar wad.
Namun, tak selebat hujan dalam hati abang jaga.

Dilihatnya abang jaga sedang sujud di atas sejadah. Di sisi katilnya.

Ada manik-manik air mata mengalir di pipinya.

Orang yang inginkan Allah dan inginkan Syurga, hidupnya ditemani air mata.
Bimbang.
Dirinya diterima Allah atau tidak di sana.
Lantaran dosa sepanjang usia.

Bagi Zam. Abang jaga.
Bukan abang jaga biasa.

Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor