Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Wednesday, May 14 | Wednesday, May 14, 2014

Tunangku Tidak Tampan. 
Part 28 ( Season 3 )
----- 

Teacher termenung sendirian di balkoni rumahnya. Henfon di tangannya. 
Teragak-agak antara mahu mesej atau tidak.

Baru sebentar tadi umi dan abahnya berbincang sesuatu bersama-sama dengannya. Kebetulan cuti hujung minggu. Masa terluang dimanfaatkan untuk keluarga.

"Panggil cikgu tu datang ke rumah petang ni. Abah nak jumpa dia."

Abah dan umi teacher gembira bila dia menyampaikan pesanan Cikgu Syabab untuk menyunting dirinya sebagai isteri.

Oleh kerana kelurusannya, pesanan berat itu disampaikan jua kepada kedua orang tuanya. Apapun terjadi, pada Allah dipasrahkan segala.

Gadis itu mulai menyentuh-nyentuh skrin fonnya.

Mesej dihantar walaupun fikirannya sedikit celaru. Antara kemahuan hatinya dan kehendak orang tuanya. Bukan senang memilih antara keduanya.

Kadang-kadang apa yang kita mahu, tidak selari dengan yang Allah mahu. Tidak pernah pula terjadi, kemahuan Allah tumpas kepada kemahuan makhluk. Dia nak berikan yang terbaik, mengapa pula kita nak yang ala kadar?

Teacher memandang langit biru. Hela nafas sedikit sayu.

**

"Jadi, awak baru la ni mengajar di sekolah tu? Sebelum ni mengajar di mana?"

Abah teacher mengalu-alukan Cikgu Syabab dengan penuh senyuman.

"Saya sebelum ni dapat di pedalaman. Alhamdulillah, tak lama berada di pedalaman tu, dapat di sekolah ni. Mungkin jodoh ada di sekolah tu kot."

Cikgu Syabab tersengih-sengih menjawab soalan demi soalan yang ditujukan kepadanya. Sambil sesekali menjeling pada teacher di sebelah uminya. Umi nampak selesa dengan Cikgu Syabab. Apa tidaknya, sopan santun, baik budi bahasa, ada kerja tetap dan parasnya tak kalah lelaki biasa.

"Terus-terang saja. Saya memang ikhlas hati nak jadikan anak pakcik dan makcik sebagai isteri saya. Makin cepat, makin baik. Saya dijemput datang hari ini pun dah besar rahmat bagi saya. Dah satu penghargaan buat diri saya.

Dari sudut saya sendiri, saya nak jaga iman saya. Tapi, kalau dapat tolong jaga iman orang lain sekali, itukan lebih baik. Berdua beriman, pasti lebih baik.

Saya harap, pakcik dan makcik tiada halangan. Berilah restu pada saya. Sungguh, saya tak ada niat untuk aniayai anak pakcik makcik. Tak ada niat buruk, tak ada niat nak nikahinya untuk simpan dekat rumah. Untuk letak dekat dapur saja. Atau nak suruh dia berhenti kerja atau tak bagi dia sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. Tak ada macam tu.

Jujur, segala kelebihan dan kekurangan anak pakcik makcik, saya terima dengan sepenuh hati. Saya pun tidak lebih mana-mana.

Dengan gaji guru ni, saya tak mampu nak buat majlis grand. Hantaran mahal-mahal. Bukan saya nak mengajar pakcik makcik pula, tapi andai dapat kita ikut pernikahan cara Islam yang penuh kesederhanaan tanpa pembaziran, itukan lebih cantik."

Abah teacher tersenyum.

"Jangan risau. Kami berdua ni sporting. Kalau nak ikut cara Islam, kita ikut betul-betul. Takkanlah semua bab makan minum misalnya ikut cara Islam, tiba-tiba datang bab perkahwinan, ikut cara kafir. Nak buat photoshoot pre-wedding lah, nak make-up macam artislah, nak pakai cantik tapi tak tutup aurat di majlis perkahwinan, nak buat video perkahwinan mahal-mahal. Eh, itukan semua bukan dari Islam. Islam tak pernah memberatkan. Bahkan, memudahkan.

Saya rasa semua orang tahu tentang kesalahan-kesalahan dalam perkahwinan masyarakat kita hari ni. Tapi, sengaja kita membutakan mata atas nama nafsu dan adat. Asal nampak gah, agama dibiar rebah."

Cikgu Syabab terkesima dengan jawapan abah teacher. Tak sangka orang tua itu bukan calang-calang orangnya.

"Jadi, pakcik makcik setuju tak saya nak masuk meminang anak gadis pakcik makcik?"

Cikgu Syabab bertanya. Sedikit cemas. Jawapan positif diharapnya.

"Alhamdulillah, pakcik dapat terima kamu dengan baik walaupun tidak kenal sepenuhnya lagi. Tapi, kami percaya kamu orang baik-baik. Dari pertuturan kamu, pakcik tahu kamu ada agama yang baik.

Namun, kami orang tuanya setuju pun tidak akan bermakna seandainya tuan empunya dirinya sendiri tidak memberikan izinnya."

Ketiga-tiga pasang mata tertumpu pada teacher.

Teacher serba-salah.

Nak diterimanya, hatinya membantah.

Nak ditolaknya, ah tak mungkin alasannya dapat diterima orang tua. Mana mungkin kedua-duanya setuju andai dia katakan dia suka pada lelaki lain. Malah, lelaki itu adalah pelajarnya sendiri. Pelajar itu pula zahirnya tersabit kes juvana. Akademik teruk, sahsiah entah ke mana. Pelajaran belum tahu keputusannya. Kerja apatah lagi. Lagi parah, andai diberitahunya lelaki itu sedang direman tunggu dipenjara!

Nak ditolaknya Cikgu Syabab. Dia tiada alasan kukuh untuk menolaknya. Tambahan, jejaka itu pakej lengkap. Tiada cacat celanya.

Lagi menyakitkan hatinya, dia tak pernah beritahu lelaki dalam hatinya yang dia menyintainya!

Manalah Zam tahu.

"Cikgu Syabab, saya harap boleh beri saya sedikit masa untuk berikan jawapan pasti. Dalam seminggu, boleh? Saya nak berbincang dulu dengan keluarga dan istikharah supaya keputusan yang saya buat nanti, semua pihak dapat terimanya dengan baik.

Ini hal masa depan. Bukan nak hidup sehari dua. Beri saya masa ya."

Teacher bersuara mendatar.

Cikgu Syabab mengangguk faham. Orang tua teacher juga hanya tersenyum. Semuanya dah matang.

Hal nikah seseorang, tidak boleh tergesa-gesa.

Dalam hal jodoh, kita tak mampu gesa ianya berlaku dengan segera. Tidak mampu lambatkan andai masanya dah tiba. Allah dah tetapkan masanya. Tidak terlalu cepat. Tidak terlampau lambat. Tepat pada masanya. Tepat di saat diri memerlukannya.

***

Usai solat Isyak, teacher sekali lagi termenung di beranda rumahnya. Mencari bulan yang tidak kelihatan. Jasad berdiri di situ. Hati melayang jauh.

Bebanan perasaan yang ditanggungnya dirasakan terlalu berat. Dua haluan. Haluan pertama, menerawang jauh sampai ke sel lokap. Memikirkan apa yang sedang dilalui jejaka yang pernah dilukainya dulu. Sudah makan ke belum dia? Disoal-siasat dengan terukkah dirinya? Tak sanggup dia membayangkan anak yatim piatu itu diperlakukan semahunya oleh anggota keselamatan. Bila sampai kepada kuasa politik, apa saja mampu dilakukan oleh orang yang berkuasa. Menggunakan kuasanya tanpa segan silu. Lupa. Ada Allah Yang Maha Berkuasa sedang memerhati. Kuasa politik sentiasa ingin menjauh dari kuasa Tuhan. Kerana itulah, agama dipisahkan dari politik. Politik tidak bercantum dengan agama. Dipisahkan untuk kepentingan sendiri. Tahu, andai melibatkan agama sudah pasti tak dapat mengaut keuntungan besar dari projek kecil atau mega. Tapi, manusia tetap manusia. Degil turutkan jua nafsu kehendaknya. Janji dapat bina kondo mewah, rumah atas bukit, hartanah berhektar-hektar, kenderaan mewah bertukar ganti. Dunia. Tidak akan puas.

Haluan kedua, cikgu yang datang petang tadi. Tulus. Jujur. Disukai orang tuanya. Hormati mereka. Buat hatinya gelabah.

"Lama termenung?"

Umi teacher datang menyapa. Berdiri di sebelahnya.

"Tak ada apa-apa, umi. Ni hah, cari cengkerik malam ni kenapa dia diam saja malam ni. Demam ke apa. MC kot."

Teacher tersengih-sengih dalam kepayahan.

"Kamu tak suka cikgu tu?"

Teacher sedikit terkejut. Uminya itu seolah-olah mampu membaca nota dalam hatinya.

"Kalau kamu tak suka, kamu boleh tolak. Umi dan abah ikut keputusan kamu. Kami tak akan paksa kamu ikut keputusan kami. Itukan rumahtangga kamu."

Teacher menarik tangan ibunya.

"Umi suka dia tak?"

Teacher senyum mesra. Cuba legakan keraguan ibunya.

"Umi suka. Abah pun sama. Nampak sesuai saja dengan kamu. Sama-sama cikgu. Best juga tu, boleh pergi dan balik sekolah sama-sama. Naik satu kereta sahaja. Jimat minyak. Hehe."

Teacher happy. Tengok uminya itu nampak gembira.

"Umi dah tak sabar nak ada cucu ya?"

"Itu sudah pasti, sayang. Sebab kamulah satu-satunya anak gadis kami. Satu-satunya anak yang umi abah ada. Nak harapkan cucu dari siapa lagi, kan?"

Uminya merapatkan sisi bahunya ke bahu teacher.

"Anak umi ni dah besar rupanya. Dah 25 tahun berlalu.

Dari tak boleh berjalan, mengengsot, merangkak, bertatih hinggalah berjalan dan berlari. Akhirnya hari ini jadi seorang gadis yang jelita. Jadi, seorang pendidik anak bangsa pula. Umi bangga dengan anak umi ni.

Ingat lagi, umi dan abah bermula dengan tiada apa-apa. Abah tiada kerja tetap. Hanya bekerja pelayan di gerai makan. Umi pula bekerja basuh pinggan mangkuk. Namun, takdir menentukan kami mampu juga bernikah dalam keadaan ekonomi paling merudum dalam hidup. Janji Allah itu benar. Rezeki diberi-Nya setelah bernikah. Bukanlah kaya. Tetapi, senang sedikit. Abah akhirnya boleh buka gerai roti canai sendiri.

Bila tahu umi hamil, abahlah orang paling bahagia. Abah layan umi seperti permaisuri. Segala kerja abah yang buatkan. Abah kamu memang suami terbaik dalam dunia ni bagi umi. Suami dunia akhirat. Namun, kami mendapat khabar kandungan umi bermasalah. Masa tu kandungan umi berusia 7 bulan. Darah umi tinggi. Kandungan pula songsang. Berlaku komplikasi. Doktor sarankan umi dibedah awal.

Ada satu lagi berita mengejutkan selepas diperiksa doktor. Umi ada ketulan tumor dalam rahim. Nak tak nak, kena buang. Berita ini betul-betul buat abah kamu bimbang. Sampai tak tidur malam. Doktor sarankan dibedah dengan segera. Peluang untuk bayi dan umi sangat tipis. Kena pilih salah satu. Andai bernasib baik, selamat umi. Andai sebaliknya, pasrah.

Abah kamu peluk umi masa tu. Abah menangis. Tak mahu kehilangan umi. Abah kata, biarlah tak dapat anak, asalkan umi ada di sisi. Masa tu, umi juga menangis bersama-sama. Keputusan besar harus diambil segera. Akhirnya, umi yakinkan abah kamu. Umi nak kamu dilahirkan. Biarlah apa pun terjadi pada umi. Umi rela abah kamu nikah lagi setelah umi tiada lagi. Umi tandatangan borang persetujuan bedah.

Abah pasrah. Abah kamu tidak putus-putus bersolat dan berdoa sepanjang umi dalam dewan pembedahan. Pada siapa lagi disandarkan segala harapan kalau bukan pada Allah. Di saat segalanya mustahil, pada Allah segalanya masih mungkin.

Akhirnya, dewan bedah dibuka. Abah dipanggil masuk. Doktor kata, umi berjaya diselamatkan. Tumor bersama rahim jua telah dibuang. Abah bersujud syukur di situ juga. Datang segera mendapatkan umi. Tapi, umi menangis masa tu. Sebab doktor kata, bayi tiada respon. Doktor kata, bayi tengah nazak. Abah minta nak dukung bayi tu. Bila abah rapatkan bayi itu ke dadanya, abah nangis cukup-cukup. Abah iqamatkan dalam tangisan. Umi pun tak dapat tahan lihat abah macam tu. Umi dan abah dakap bayi tu sama-sama. Menangis sama-sama. Manakan tidak, itulah kali pertama dapat bayi comel. Itu jua kali terakhir. Tak mungkin umi tanpa rahim mampu mendapatkan bayi yang seterusnya lagi.

Tiba-tiba, keajaiban berlaku. Bayi tiba-tiba menangis dengan kuat. Degupan jantungnya kembali berdetak laju. Doktor segera dapatkan bayi dan disahkan bayi itu selamat, stabil dan normal! Subhanallah.

Abah sekali lagi sujud syukur. Peluk umi dan dakap bayi comel. Allah tidak zalim pada hamba-Nya yang berpaut kuat pada-Nya.

Bayi itu adalah kamu, sayang.

Kamu."

Teacher peluk uminya dalam tangisan. Sebak. Pilu. Menangis teresak-esak. Tidak pernah dia tahu kisahnya sedemikian perit. Tidak pernah dia tahu selama ini begitu sekali ketabahan umi abahnya.

"Maafkan saya salah silap selama ini, umi. Degil dan keras kepala."

Teacher dan uminya menangis bersama.

"Pilihlah orang seperti abah kamu, sayang. Yang mencintai kamu setulus hati. Yang sanggup berkorban apa saja lalui susah senang bersama-sama. Yang hidupnya bergantung nyawa pada Allah semata-mata."

Teacher menangis tersedu-sedan mendengar kata-kata uminya itu. Manakan tidak, kali ini dia tak sanggup melihat umi abahnya sedih. Sedih andai dia menolak orang yang dianggap tulus dan baik hati oleh orang tuanya. Yang berkenan di mata orang tuanya.

Tak sanggup melihat umi abahnya kecewa. Andai dia bertegas memilih jejaka berparut di muka. Andai dia berkeras ikut kata hatinya.

Walaupun pemuda itu. Bukan pemuda biasa.

Pemuda yang mahukan Syurga.

Di hatinya, semua orang mahukan Syurga. Tidak mungkin. Tidak mungkin bakal suaminya enggan ke Syurga. Pasti mahu!

Mengapa tidak berikan peluang?

Hidup ini bukan umpama bermain dadu yang tidak pasti angkanya ketika ia berputar. Hidup ini pilihan. Angkanya sudah jelas.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud,

"...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Boleh jadi jejaka yang dicintainya ditakdirkan untuk yang lebih baik. Boleh jadi, jejaka yang dia tidak berperasaan padanya adalah yang terbaik. Boleh jadi, dia tak cukup baik untuk Zam.

Teacher buntu. Reda.

**

Dingin malam.

Gadis bertahi lalat di pipi itu sujud. Barulah dia sedar, betapa selama ini dia solat tetapi hatinya entah di mana. Minta sekadar minta. Doa sekadar doa. Tetapi tidak mengharapkan dengan sepenuh-penuh pengharapan.

Selama ini, selalu disebut dirinya dan kawan-kawan perempuan sedari sekolah sampai habis universiti, mahukan suami yang terbaik. Tetapi, tidak pernah pula majoriti yang berkata-kata itu sujud dan solat minta dari Allah mahukan seperti apa yang dikata. Tidak pula menangis setiap malam minta sepenuh hati. Yang menangis teruk tiap malam hanya bila ditinggalkan kekasih, dilukai kekasih. Malu.

Betapa dirinya pandai berharap. Tetapi tidak pernah bergerak sungguh-sungguh ke arah itu. Kata nak jadi solehah, tapi tak pernah ambil tahu apa cara terpantas dan terbaik ke arah itu.

Kesal.

Teacher teringat kata-kata seorang serikandi Islam di Mesir apabila ditanya mengenai masalah tersepit antara dua pilihan, antara pilihan hati dan yang benar-benar datang meminang,

"Andai pemuda yang meminang itu tidak ada cacatnya, berakhlak baik dan keluarganya juga baik. Mengapa engkau tidak memusatkan perhatian kepadanya dan memikirkan masa depanmu dengannya?

Sungguh, sebahagian orang memang suka hidup dalam angan-angan dan impian indah laksana bunga mawar serta tidak mahu melihat kepada kenyataan. Lupa, dia sendiri yang merupakan kenyataan itu. Hidup ini adalah realiti."

Zam bagai mimpi, pemuda yang datang siang tadi adalah realiti.

Gadis itu termangu lama di sejadah. Muhasabah.

Mungkin keputusannya nanti, hanya mencalarkan hati.

Namun di tiap calar hatimu.
Ubatnya Tuhan tahu.

Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor