Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Monday, May 12 | Monday, May 12, 2014

Tunangku Tidak Tampan. 
Part 21 ( Season 2 )
----- 

"Bila saya boleh keluar dari hospital ni doktor?"

Zam resah lama-lama di wad. Dia nak balik ke sekolah. Banyak pelajaran tertinggal.

"Tulang rusuk awak retak. Jadi, kena tahan seminggu dalam wad sebelum dibenarkan pulang ke rumah."

Doktor itu kemudian berlalu meninggalkan Zam keseorangan.

Zam terkebil-kebil memandang kipas siling yang berputar ligat. Agak bosan berbaring sahaja di katil. Ruangan wad lelaki itu agak lengang. Tak ramai penghuni di dalamnya.

Mengelamun seketika. Mengingat semula cerita waktu dia tidak sedarkan diri. Sedikit sebanyak Zam jadi lebih matang dari pengalaman sepanjang koma selama 6 jam. Dia sendiri tidak menyangka jauh begitu sekali perjalanannya. Sampai ke masa depan. Fikir-fikir, macam tak logik saja. Tapi, bila fikir masalah umat yang melanda masa depan, hatinya sedikit rungsing.

"Aku tak tahu banyak sangat ilmu agama. Bagaimana nak guide orang lain sedangkan diri sendiri macam jongkang-jongket?"

Zam mengeluh sendiri. Tiba-tiba bayangan seorang gadis terlintas di ingatannya. Gadis yang menulis diari ketika Zam di daerah utopia separa sedar. Zam tersenyum sendiri.

"No. No. Aku tak boleh fikir benda tak logik ni. Kena sedar diri sendiri okay!"

Gumam Zam sendiri. Membongak dengan perasaannya sendiri.

"Macam mental pula aku duduk cakap sorang-sorang dalam hati gini."

Jam baru 11 pagi.

Zam belek-belek buku yang diberikan Cik Yuyu masa dia datang melawat kelmarin. Karangan seorang tokoh wanita Ikhwanul Muslimin. Zam baca penuh khusyuk. Sejak dia tersedar dari koma, dia perasan hatinya sedikit lembut pada perempuan. Selama ini, hidupnya cuma main-main saja dengan perempuan. Dianggapnya mainan sekadar berfoya-foya di luar sekolah. Sekadar hendak lepak-lepak makan di pusat membeli-belah. Bangga tayang awek. Bangga bertukar-tukar gadis. Namun, itu dulu. Hatinya keras hitam dulu.

Entah. Pada Cik Yuyu, Zam rasa sesuatu. Tapi, tidak pasti apakah itu.

**

"Abah, along ada banyak meeting minggu ni. Dah call angah, achik. Semua sibuk tak dapat cuti kerja. Jadi, abah tolonglah faham. Jangan susahkan kami macam ni. Abah duduk sini, jururawat ramai. Along boleh bayar mereka jaga abah."

Zam terdengar suara diangkat tinggi tidak jauh dari kirinya. Datang dari katil pesakit seorang pakcik tua. Uzur benar Zam tengok orang tua tu.

Zam tengok pakcik tua itu cuba pegang tangan anaknya. Tapi, cepat-cepat si anak mengelak.

"Abah, bagilah kerjasama. Tolong faham okay. Along pergi dulu. Kejap lagi ada meeting. Minggu depan along datang ambil."

Si anak terus pergi meninggalkan ayahnya.

Zam mengecilkan anak matanya melihat kelibat si anak hingga keluar dari bilik wad lelaki.

Hati Zam terobek sedikit.

Zam cuba bangun dalam kepayahan. Sakitnya masih terasa. Melangkah perlahan ke arah katil pakcik tadi.

"Saya Zam. Boleh saya duduk sini sekejap?"

Zam bersalam memperkenalkan diri. Dipersilakan duduk oleh pakcik tua. Umurnya dalam lingkungan 70 tahun. Nampak dia gembira bila Zam datang dekat.

"Kenapa dengan muka kamu? Gaduh ya? Pakcik nasihatkan kamu muda-muda ni tak payahlah jadi gengster atau samseng. Mat rempit atau mat pit semua tu tak elok. Semua tu nanti bila kamu dah tua macam pakcik baru kamu faham erti penyesalan."

Zam tersengih sendiri. Pakcik tu ingat dia gengster. Juvana. Tak mengapa. Zam tak kisah.

"Betul tu pakcik. Tengok muka saya dah tak hensem, saya menyesal sekarang. Sekarang, siapa nak saya lagi? Jururawat pun tak sudi tengok. Jururawat lelaki saja yang datang check saya tiap hari."

Zam berseloroh. Sengaja nak biar pakcik itu rasa kemesraannya. Pakcik tua tersenyum. Dari perbualannya, baru Zam tahu orang tua itu ada penyakit kencing manis. Minggu depan, doktor kata kalau kakinya makin teruk, wajib dipotong untuk menyelamatkan nyawa. Anaknya dah tandatangan setuju. Dia pun.

"Pakcik, anak-anak pakcik kerja apa? Sibuk sangat ya mereka?"

Pakcik tu mula bercerita,

"Pakcik ada tiga orang anak. Yang sulung kerja pensyarah. Kedua dan ketiga cikgu kedua-duanya. Semua sibuk. Maklumlah bukan senang nak dapat cuti kerja, kan?"

Zam pandang muka orang tua tu.

"Tapi, saya tengok orang lain pun sibuk juga. Masih ada masa datang jenguk ibu ayah di hospital. Ambil cuti. Ambil leave."

Pakcik terdiam.

"Tak mengapa. Pakcik faham kerjaya anak-anak. Mereka pun nak jaga famili masing-masing. Ada anak, ada isteri."

"Betul. Tapi takkanlah sampai minggu depan baru nak datang jenguk?"

Zam sengaja menduga.

Terdiam lagi pakcik itu.

"Pakcik kalau ada apa-apa nak luah, boleh beritahu saya. Saya memang tak ada sesiapa nak ziarahi saya sebab saya anak yatim piatu. Ibu saya baru saja meninggal."

Zam bangun untuk kembali ke katilnya. Tapi tangannya dipegang orang tua itu.

"Mari pakcik ceritakan apa yang telah berlaku."

Zam duduk kembali. Beri perhatian.

"Ayah pakcik ada tinggalkan bidang tanah pusaka yang luas. Dalam 20 ekar. Setelah dibahagikan adik-beradik, pakcik dapat 8 ekar. Kemudian, baru-baru ini ada adik-beradik pakcik mempertikaikan kembali tanah yang pakcik dapat. Mereka kata tak adil. Mereka mula bersikap dingin dan hubungan kekeluargaan jadi renggang.

Lalu, demi menjaga silaturrahim adik-beradik dan keluarga supaya tidak terputus. Pakcik buat keputusan untuk serahkan kesemua bahagian pakcik kepada mereka. Biarlah mereka puas hati dan gembira. Bagi pakcik, tak mahu hanya kerana tanah, berantakan bermusuhan antara kami sanak-saudara.

Biarlah orang nak kata apa. Bagi pakcik, tanah atau apa pun milik kita sekarang, semuanya tidak kekal. Bukan milik kita. Mana milik kita? Tidak ada milik kita. Sehingga nafas dan kerlipan mata sekarang ini pun bukan kepunyaan kita.

Nafas yang kita hembus tadi dah tak ada. Nafas yang kita tengah sedut sekarang kita pinjam sekejap. Kemudian, hembus keluar balik pulangkan pada Allah. Nafas yang sekejap lagi, belum tentu Allah bagi pinjam. Kalau Dia tak bagi? Terputuslah hayat kita.

Ni kaki pakcik ni juga bukan milik sendiri. Tengok, minggu depan Allah dah nak ia dikembalikan semula pada-Nya."

Zam mengangguk. Dia faham. Dia memahami dengan jelas saat kehilangan ayahanda dan bondanya. Dunia ini hanya pinjaman. Rupa kacak tidak akan bertahan lama. Paras cantik hanya sementara. Bahagia tidak selamanya. Gembira bukan selalu ada.

"Apa kaitannya dengan anak-anak pakcik?"

Zam menduga lagi. Mengorek rahsia.

"Tatkala mendengar keputusan muktamad pakcik serahkan semua tanah itu kepada adik-beradik yang lain. Maka, anak-anak pakcik tidak puas hati dengan keputusan itu. Mereka kata, pakcik bodoh kerana mengaku kalah kepada permintaan mereka.

Mereka marah pakcik. Mereka sakit hati dengan pakcik. Mereka kata, tanah itu kan milik sah pakcik. Sudah disahkan oleh Pejabat Tanah. Ada geran pemilikan yang sah. Mereka kata, mana hak anak-anak kelak?

Sepatutnya tanah itu dibahagikan kepada anak-anak. Bukan saudara mara lain. Mereka protes keputusan pakcik. Mereka nak tanah itu. Mereka kata bukan senang nak beli tanah sekarang. Tanah dah naik harga. Dengan ekonomi yang tak menentu, nilai hartanah dah melambung. Rugi lepaskan begitu saja.

Pakcik kata, biarlah susah di dunia. Jangan susah di akhirat. Setiap kita sudah dipinjamkan tanah wakaf setiap seorang. Iaitu tanah kubur kita kelak. Itulah satu-satunya tanah tempat kita bersemadi. Itu pun sementara juga. Akhirat jualah kekal selama-lamanya.

Tapi, mereka tak hiraukan kata-kata pakcik. Lepas pakcik serahkan semuanya tanah itu, anak-anak jarang bercakap lagi dengan pakcik. Raya pun tak balik. Pakcik tinggal berseorangan saja di rumah. Bila balik pun, cakap kasar dengan pakcik. Sinis dan ungkitkan kisah tanah berulang-kali. Ada juga paksa pakcik dapatkan kembali. Pakcik kata, yang sudah tu sudahlah. Bila pakcik kata macam tu, segera mereka berangkat keluar dari rumah pakcik.

Mereka kata pakcik degil. Keras kepala.

Bila pakcik jatuh sakit, semua berikan alasan. Susah nak jagalah. Anak-anak nak sekolahlah. Kerja banyaklah. Tak mengapalah. Tak hantar duit pada pakcik pun tak mengapa. Pakcik tak kisah.

Tapi, susah ke nak call ayah sendiri walaupun sekadar satu dua minit tanya khabar?
Apa guna henfon canggih dan mahal?"

Pakcik nampak sebak. Berkaca-kaca matanya. Seolah-olah telah lama terbuku di hatinya. Tidak terluah pada sesiapa sebelum ini.

"Hantar pakcik ke hospital ini pun semata-mata kerana telah ambil insurans yang mahal-mahal. Andai pakcik kehilangan kaki, akan diberi pampasan sekian-sekian banyaknya. Andai meninggal, waris dapat banyak lagi.

Tak mengapa. Andai nak duit, pakcik rela. Ambillah. Duit tidak ada nilai pada pakcik. Jika duit begitu bernilai, sudah pasti semua bapa dalam dunia ini tidak rela berhabis duitnya demi kepentingan anak-anak. Tidak. Setiap ibu bapa, sampai akhir hayat pun hidupnya didedikasikan kepada anak-anak.

Begitu juga kita sebagai hamba, dedikasikan seluruh kehidupan kita kepada Allah semata-mata."

Ah. Pakcik berlinangan air mata. Zam tundukkan muka. Usap-usap lengan orang tua itu. Cuba redakan keadaan.

Bagi Zam, orang tua itu betul. Tindakannya betul. Tidak guna anak belajar sampai PhD sekalipun tetapi gagal memahami dengan baik tentang dunia dan akhirat. Tidak guna anak jadi cikgu yang mendidik anak bangsa tetapi gagal mendidik imannya sendiri ke arah lebih baik. Benarlah, belajar hanya untuk dapat kerja yang bagus. Soal dunia akhirat letak tepi. Janji perut terisi.

Zam meminta diri. Dia nampak orang tua itu tersangat uzur keadaannya. Sakit pada badan. Pendam berlinangan di dalam hati. Nampak kepenatannya. Zam biarkan dia berehat.

**

"Awak dah baik sikit hari ini?"

Teacher duduk di sebelah katil Zam. Tergesa-gesa dia pulang dari sekolah, terus ke hospital. Risau dengan jejaka itu.

Zam mengangguk-angguk.

"Dah makan ke belum? Kalau belum, saya nak belikan awak makanan. Awak nak makan apa? Makanan hospital bukannya sedap pun. Semua tawar tak rasa apa pun, kan?"

Zam senyum.

"Susahkan teacher saja.."

"Eh, jangan fikir macam tu. Dah jadi tanggungjawab saya sebagai guru jaga anak muridnya."

Zam berkerut kening,

"Tapi, teacher bukan guru kelas saya. Cikgu Syabab guru kelas saya."

Teacher terkedu sekejap. Alamak. Tak tahu dia nak jawab apa. Kantoi dia datang semata-mata kerana dia risaukan Zam sebenarnya. Datang kerana alasan peribadinya.

"Oh, oh. Cikgu Syabab nampak macam sibuk di sekolah. Jadi, saya datanglah sebab saya agak free."

Teacher cuba cover.

"Teacher, bila saya nak pitam hari tu, saya macam dengar teacher ada sebut somethinglah. Tapi, saya ingat-ingat lupa. Tak clear. Boleh teacher ulang balik?"

Zam pandang teacher nakkan jawapan.

"Awak! Nasi ayam dekat luar hospital ni sedap tau! Nak?" Teacher cepat-cepat tukar topik.

Zam mata ke atas. Pelik dengan teacher.

Tiba-tiba masuk individu yang tidak asing lagi bagi pemuda itu.

"Assalamualaikum. Awak sihat? Nah."

Cik Yuyu menghulurkan bekal makanan yang dibawanya.

Zam tersenyum. Berterima kasih.

"Makan, jangan tak makan. Saya masak sendiri ni tahu."
Cik Yuyu sengih menampakkan gigi rabbitnya pada Zam.

Teacher memandang Cik Yuyu dari sisi. Kurang selesa. Terbantut niatnya untuk keluar beli makanan pada si pesakit.

Dua gadis jelita berdiri di depan Zam. Teacher sedikit muram. Cik Yuyu selamba badak.

Teacher berkata tiba-tiba,

"Zam, saya ada bawakan buku Muet untuk awak. Kalau awak nak, saya boleh ajarkan di sini. Dah banyak awak tertinggal di sekolah."

Zam excited.

"Wah, ya ke ni teacher? Thank you! Teacher the best!"

Cik Yuyu pula memandang teacher tidak selesa. Dikerlingnya lama. Teacher dan Yuyu saling pandang memandang.

Zam tak faham apa-apa. Macam tak nampak aura sedang keluar dari dua individu di hadapannya. Aura rival. Macam Sasuke berhadapan Naruto.

**

Sebelah malam, masa melawat sudah tamat. Lampu wad disuramkan supaya tidak mengganggu pesakit yang hendak tidur.

Pukul 10 malam. Zam berpaling ke katil pakcik tua tadi. Tangan orang tua itu di kepala. Mengurut lama dahi sendiri.

Zam bangun dan menghampiri orang tua itu.

"Pakcik okay ke?"

"Kepala pening sangat. Doktor baru sahaja check dan masukkan ubat."

Zam kasihan.

"Mari saya picitkan."

Zam duduk di samping pakcik tua tadi. Diurut perlahan-lahan kepalanya. Dilayannya sebagaimana dia pernah layan arwah ibunya.

Pakcik mengukir senyum dalam keperitan.

"Anak-anak pakcik tak pernah picit kepala pakcik. Apatah lagi nak urutkan tubuh pakcik. Masa mereka sakit, pakciklah yang berjaga siang dan malam hilangkan sakit pening mereka. Pakcik ingat, bila pakcik dah tua-tua begini, mereka akan jaga pakcik. Tapi...

..Tak mengapalah. Mungkin salah pakcik sendiri terlalu manjakan anak-anak. Bukan pakcik tidak pernah ajar mereka agama. Tapi, mungkin ilmu agama pakcik tidak sebanyak orang lain yang lebih terdidik. Pakcik tak lepas SPM pun. Apalah sangat ilmu pakcik ada. Kamu bila dah punya anak-anak nanti, hantarlah mereka belajar agama. Memanglah orang belajar agama dipandang tiada masa depan dalam kerjaya dunia. Tapi, masa depan kelak di akhirat cerah."

Zam cuma mengiyakan dengan anggukan kepala.

"Pakcik jangan fikir banyak ya. Pakcik nak minum tak?"

Orang tua itu memandang Zam. Tidak menyambut pelawaan Zam. Tapi menyambung kata,

"Lepas Maghrib tadi, kaki yang sakit ni menyengat-nyengat. Rasa sampai ke peha bisanya. Sebab itu, kepala berdenyut sama."

Zam cuma mendengar sambil mengurut kepala.

"Masa nak datang ke hospital ni, masa pakcik dalam kereta anak, pakcik nampak di luar pagar hospital ni ada satu kedai runcit. Dalam peti kaca ais, dalam bekas plastik dia tulis, 'Kek Keju Leleh'. Pakcik suruh anak beli sebab pakcik tak pernah rasa benda tu seumur hidup. Pastu, dijerkah anak. Buat apa makan, nanti makin teruk kencing manis. Tapi, kaki ni memang akan dipotong pun. Makan atau tidak, tetap kena potong.....Pakcik nak rasa kek tu."

Zam pandang wajah pakcik dalam-dalam.

"Kalau macam tu, pakcik tunggu sini. Saya dapatkan untuk pakcik."

Zam angkat ibu jari. Sengih.

Zam cepat-cepat menyelinap keluar dari wadnya. Berjalan perlahan-lahan kerana rusuknya masih tak baik. Ah. Sakit pula rusuknya tiba-tiba. Dilihatnya kerusi roda di luar wad. Zam duduk. Tanpa melengahkan masa lagi, dia mula meluncurkan kerusi roda menuju ke pintu pagar.

Digerakkan tangannya laju-laju pada tayar kerusi roda. Macam pemain kurang upaya bermain bola keranjang. Meluncur di atas jalan dalam kawasan hospital. Jururawat-jururawat cuba menahannya tapi tak berjaya. Zam lagi tangkas. Dia nak juga ke luar pagar hospital.

Akhirnya berjaya! Zam berjaya belikan kek dalam bekas mini untuk pakcik.

Zam patah balik ke wad. Sampai di depan wad, dia lihat doktor dan jururawat bergegas masuk ke dalam wad. Hatinya tak sedap. Dia cepat-cepat bangun meninggalkan kerusi roda. Melangkah laju. Seakan berlari. Zam dah tak hiraukan kesakitan rusuknya.

Langkahnya terhenti. Plastik berisi kek di tangannya bagai nak terlucut.

Pakcik tua telah pergi. Doktor cuba menyelamatkannya dengan menekan-nekan dada pesakit namun tidak berjaya. Pakcik tua itu tidak bernyawa lagi. Tidak sempat orang tua itu menjalani pembedahan untuk memotong kakinya. Tidak sempat tunggu minggu depan anaknya datang melawat. Pergi tanpa sesiapa ada di sisi menemani.

Orang tua itu pergi dengan hati yang teruk dilukai. Bukannya orang lain tapi oleh darah daging sendiri. Hangat terngiang-ngiang di telinga Zam lagi,

"..kerana dunia ini hanya pinjaman..mana milik kita..tidak ada milik kita.."

Roh yang dipinjamkan pada jasad telah dipisahkan kembali.

Zam mengetap bibir. Air matanya turun tidak berhenti.

Zam menghampiri jasad yang sudah kaku. Nampak tenang.

"Pakcik, bangun pakcik. Saya dah belikan kek ni untuk pakcik. Bangun..."

Tiada jawapan.

Sepi.

Hanya titisan air mata seorang jejaka yang jatuh berderai di lantai.

Benarlah Tuhan lebih menyayangi.

Sungguhlah hanya Allah Yang Maha Memahami segala isi hati.

Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor