Kuala
Lumpur: “BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) 3.0 akan dilaksanakan dua
minggu lagi pada pertengahan Februari, ia akan membantu rakyat dalam
menghadapi masalah kenaikan harga barang,” kata Datuk Seri Najib Razak
pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi
(MT) UMNO di Menara Dato' Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini,
semalam.
Perdana Menteri
berkata, 7.9 juta rakyat layak menerima bantuan yang akan meringankan
beban mereka khususnya kesan kenaikan harga barangan masa kini.
Permohonan BR1M 3.0 bakal memanfaatkan rakyat yang layak termasuk 6.8 juta penerima sedia ada dibuka pada 23 Disember lalu sebelum ditutup Jumaat ini.
Semasa
membentangkan Bajet 2014 Oktober lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan
mengumumkan pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan
RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala bagi
individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas berpendapatan tidak
melebihi RM2,000 sebulan nilai dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.
Buat pertama
kalinya, BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan
bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.
Kerajaan memperuntukkan RM4.6 bilion bagi melaksanakan bantuan berkenaan.
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan sedar rakyat berdepan dengan masalah kesan kenaikan harga dan inflasi kebelakangan ini.
Sehubungan itu,
kata beliau, kerajaan komited untuk menangani perkara itu menerusi
pelbagai langkah dan program termasuk yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani Kos
Sara Hidup Rakyat sedang menunggu hasil kajian daripada makmal khas yang
ditubuhkan dalam usaha mengurangkan beban rakyat,” katanya.
Beliau berkata,
kerajaan turut mengambil berat masalah rantaian bekalan yang wujud
apabila ada pemborong menaikkan harga pada peruncit bukan pada dasar
harga.
“Kesan musim
tengkujuh yang melanda menyebabkan barang naik harga juga diambil kira,
namun dengan langkah yang diambil kerajaan akan bendung perkara ini,”
katanya.
Pada masa sama,
Najib berkata, MT memberikan sokongan padu kepada semua dasar kerajaan
dan langkah yang sedang diambil bagi meringankan beban rakyat
memandangkan dalam keadaan ekonomi negara masih teguh.
“Pelaburan,
pertumbuhan ekonomi, inflasi, bursa saham ia berada dalam keadaan baik
dan meyakinkan, asas ekonomi kita mendapat pengiktirafan dalam dan luar
negara,” katanya.
0 Org je Komen:
Post a Comment