Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Monday, May 12 | Monday, May 12, 2014

Tunangku Tidak Tampan. 
Part 17 ( Season 2 )
-----

3 hari berlalu. 

Zam memberhentikan motosikalnya di garaj pelajar.

Senyum saja. Seakan tidak ada apa-apa yang berlaku pada dirinya. 

Dengan leather handbag di tangan kanannya, berjalan selamba melalui kelas demi kelas.

Terserempak dengan geng pelajar tingkatan 5. Zam senyum kambing pada mereka.

"Terima kasih. Tayar motor aku yang dah lama botak, sekarang berganti baru. Dengan harga berapa? Percuma beb."

Ketua geng form 5 yang pernah ditumbuk Zam dulu, tampil menyergah Zam.

"Bila masa kitorang bocorkan tayar motor kau?! Jangan nak fitnah! Ko ada nampak ke?"

Zam merenung tajam mata ketua geng.

"Aku mungkin buta. Aku mungkin salah. Tapi Allah, tidak."

Ketua geng merah padam muka. Entah terasa kerana betul. Atau geram kerana dituduh.

Jejaka berparut di muka itu terus berlalu pergi. Enggan melayan sangat geng tingkatan 5 itu. Biarlah. Dia hayunkan kakinya ke bilik guru disiplin. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

Diketuk pintu bilik guru disiplin. Masuk setelah dapat lampu hijau.

"Selamat pagi, cikgu."

Zam memandang tepat ke muka guru disiplin. Menghulurkan tangannya untuk bersalam pada guru separuh abad umurnya itu.

Guru disiplin nervous. Hulurkan jua tangannya dalam curiga. Dalam kepalanya, terbayang lelaki itu cekak tangannya kuat-kuat dan patah-patahkan tangan. Cuak. Bukan calang-calang pelajar yang sedang berdiri depannya sekarang.

Tapi tidak terjadi sedemikian. Zam jabat tangan sang guru dengan mesra sambil berkata,

"Salam perkenalan. Saya Zam. Si anak yatim piatu."

Terpanah seketika hati guru disiplin.

"Saya datang sini untuk beritahu, sekejap lagi saya akan sambung baki 1 jam hukuman denda yang saya tidak habiskan. Saya akan berdiri extra 1 jam lagi sebagai hukuman saya lompat pagar semata-mata untuk berkejar ke hospital. Jadi, 2 jam. Cikgu ada apa-apa bantahan?"

Guru disiplin tak terkeluar kata-kata. Zam menyambung kata,

"Tahukah cikgu? Betapa 1 minit terakhir pun sangat-sangat bernilai bagi seseorang yang sudah berada di akhir waktu? Sekurang-kurangnya untuk tutup mata di sisi orang yang disayanginya. Tapi, saya tak ada peluang itu. Mak saya pun tak dapat peluang itu. Saya tak salahkan cikgu. Saya tak nak salahkan sesiapa. Sebab saya faham dengan jelas, yang mempertemukan dan yang memisahkan adalah Allah. Perancangan-Nya indah. Aturannya cantik. Mungkin jika saya ada di sisi arwah ketika itu, arwah tak sampai hati pergi dengan tenang dengan anaknya berlinangan air mata di tepi katil.

Mungkin kerana saya ni pendosa besar pada para guru selama ini. Pada sekolah. Pada Tuhan, maka saya dibalas sebegini rupa. Balasan ini layak untuk saya.

Boleh saya keluar sekarang untuk jalani hukuman saya?"

Guru disiplin mengangguk-angguk. Kelu bicara. Perasaan bersalah mula mencakar hati.

Zam keluar ke medan perhimpunan.

Berdiri di tiang bendera. Sambung hukumannya. Kali ini lebih tenang. Hati lebih rela. Diri lebih pasrah. Zam tersenyum sendiri pandang langit. Kepanasan mentari mulai menggigit kulitnya.

Pengetua, para guru dan pelajar-pelajar pakat jenguk tengok jejaka yang mulai tumbuh rambut di kepalanya itu berdiri. Nampak santai sahaja. Bermacam kata-kata keluar dari mulut mereka. Biasalah. Mulut akan berbicara ikut suka. Sesedap rasa. Seolah orang yang dikata tidak punya rasa, tidak terluka. Sebab itulah, di akhirat mulut manusia tidak dibenarkan lagi berkata-kata. Sudah teramat cukup ianya berfungsi di dunia. Sama ada sebagai alat hikmah. Atau cuma alat fitnah.

Ironisnya, Zam tidak peduli.

Teacher memandang Zam dari tingkat dua bangunan sekolah. Geram ada. Kasihan pun ada. Geram sebab dia tak faham sebab Zam bertindak sedemikian. Tak perlulah nak hukum diri sendiri lagi. Tak ada siapa peduli pun. Kasihan sebab Zam sudah tiada sesiapa. Anak yatim nestapa usahlah dilayan sebegitu rupa. Patut dimaafkan saja. Patut diabaikan saja kesalahannya. Ah, tak faham! Teacher merungut-rungut sendirian.

Zam didatangi Cik Yuyu. Dia juga nampak sangat tidak puas hati.

"Kenapa awak berdiri lagi? Hukuman awak dah tamat kan tempoh hari?"

"Belum. Ada lagi satu jam baki. Dah, kau pergi je masuk kelas. Nanti apa pula kawan-kawan kau kata. Kau jangan bergaul sangat dengan aku. Aku ni kambing hitam di sekolah. Jangan sebab aku, kau dapat tempiasnya."

Zam seakan menghalau.

"Boleh saya pergi. Tapi beritahu saya, kenapa awak bertindak macam ni?"

Zam pandang Yuyu.

"Hukuman tetap hukuman. Hukuman ini dah cukup ringan. Aku tak pasti aku mampu jalani hukuman yang sama ke tak di akhirat kelak.

Kawan aku (abang jaga) cakap, ulama Islam tidak mengelak pun dari dijatuhkan hukuman hatta hukuman gantung sampai mati oleh orang-orang yang menentang Islam. Mereka boleh lari. Mereka boleh pilih untuk bebas. Tapi, mereka pilih untuk pergi kepada Allah secepat yang mungkin.

Lihatlah pada para Ikhwan al-Muslimin di Mesir, rela dihukum mati dalam menegakkan kebenaran.

Aku juga ingin pergi segera kepada Allah."

Yuyu berkaca-kaca mata.

"Boleh tak awak jangan cakap macam tu lagi?"

Emo sekejap.

"Saya doakan awak panjang umur dan jadi lelaki yang soleh! Amin!"

Terus dia berlalu. Jalan cepat-cepat meninggalkan Zam sendirian.

Zam kaget dengan gadis itu. Tak faham. Tak mahu faham. Dia menumpukan pada hukumannya.

Teringat kata-kata abang jaga sepanjang malam tempoh hari.

"Aku ingat-ingat lupa beberapa rangkap syair Imam al-Syafi'i. Beliau ada menukilkan kata-kata yang berinspirasi tinggi pada aku zaman aku sekolah dulu."

Zam mendengar penuh minat.

"Syairnya bermaksud:

Tatkala aku memaafkan, maka aku pun tidak membenci seorang pun.
Aku pun menenangkan diriku dari kesedihan dan kegelisahan yang timbul akibat permusuhan.

Aku menampakkan senyum kepada orang yang aku benci.
Sebagaimana jika hatiku telah dipenuhi dengan kecintaan.

Aku pasrah jika Allah menghendaki sesuatu perkara.
Maka aku biarkan kehendakku menuju kehendak-Nya.

Engkau mengharapkan kejayaan tetapi di malam hari hanya tidur sahaja?
Orang yang mencari mutiara harus menyelam di lautan."

Setelah mendengar kata-kata abang jaga, Zam makin bersemangat untuk solat malam.

"Nak cari mutiara. Nak cari mutiara! Bukan mutiara di lautan. Tapi mutiara cinta Allah. Mutiara di Syurga!"

Selama 3 hari proses penggantungan berjalan, selama 3 hari itulah jua Zam bangun sendirian di malam hari. Demi mengubat rindu pada ibunda. Demi meraih reda Tuhannya.

Apa yang Zam dapat setelah itu?

Hati yang lebih tenang. Tidaklah seratus peratus tenang. Tapi, tidaklah kusut sebagaimana biasanya. Hanya yang qiamullail demi Tuhan merasakan perbezaannya.

Bukan seperti yang bangun malam lantaran dikejut teman istimewa. Kekasih hati kejut, maka bangun solat. Kononnya kerana Tuhan. Tapi dalam tak sedar, mereka buat kerana pasangan. Harapan Zam, moga suatu hari, dari niat yang terpesong itu mereka patah balik kepada benar-benar lurus dan betul. Lelaki itu fikir, mereka yang tersalah niat itu mungkin berjaya gapai cinta pasangan. Namun belum tentu raih cinta Tuhan. Sedangkan yang itu lebih utama.

Setakat 3 hari di rumah, Zam berjaya habiskan 2 muka surat al-Quran setiap pagi sebelum Subuh. Namun, untuk ke masjid solat jemaah, dia masih liat. Tiada perubahan sedrastik kerlipan mata.

Panas yang membahang menyedarkan Zam dari lamunan.
Hukuman dua jam akhirnya langsai.

**
Zam lebih banyak berdiam diri di sekolah. Teacher perasan perubahan Zam itu. Tidak banyak cakap. Tidak banyak bertanya seperti sebelumnya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Normal seperti pelajar lain. Salin nota, buat latihan.

Teacher rasa janggal dengan Zam sebegitu. Ingin sahaja dia bertanyakan jejaka itu. Tapi, kata-katanya tergantung tiap kali bersua.

Tadi, masa rehat. Teacher tertengok pelajar perempuan tingkatan 4 singgah di kelas Zam. Dia masih ingat, budak perempuan tu ada di luar kuburan sewaktu arwah ibu Zam meninggal. Budak tu hulurkan bekal makanan pada lelaki itu. Tiba-tiba, dia rasa sesuatu dalam hati.

"Cemburukah aku?"

Teacher memandang Cik Yuyu penuh curiga. Suspicious. Kini persoalan demi persoalan mula bermain di benaknya.

Yuyu selamba sahaja paksa Zam terima bekal makanannya.

"Ambil. Saya bangun awal pagi masakkan ini untuk awak. Tau. Don't worry. Hari ini saja. Tapi kalau awak tak makan, esok saya akan bagi lagi sampailah awak makan."

Zam tak selesa. Tapi, dibiarkan saja. Tak sangka ada yang perasan dirinya nampak tidak bermaya. Memang. Zam memang tak selera makan sejak kematian ibunya.

Zam perhati bekal yang diberi Yuyu. Nampak macam sedap.

"Terima kasih. Lagi."

Yuyu senyum manis sambil berlalu tinggalkan Zam. Dapat ucapan terima kasih dah memadai bagi dirinya. Bukan mudah tengok jejaka garang tu senyum.

**
Balik sekolah.

Zam sampai di parkir motosikalnya.

Dia membongkok tengok motosikalnya. Oh. Kena sabotaj. Plug motor entah ke mana. Minyak hitam mengalir tumpah.

Zam pejam mata. Genggam kedua tangannya.

"Haruskah lagi bersabar?"



Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor