Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Monday, May 12 | Monday, May 12, 2014

Tunangku Tidak Tampan. 
Part 27 ( Season 3 )
----- 

"Kita mesti buang pelajar ni."

Yang Berhormat bersuara. Ada nada marah di situ. Beliau berada bersama-sama pihak pentadbiran dan semua guru-guru dalam mesyuarat khas sekarang. Tidak puas hati dengan apa yang telah terjadi pada anaknya Faizal dalam tragedi tempoh hari.

Genap seminggu insiden mendukacitakan satu sekolah itu berlalu.

"Tapi, pihak polis masih lagi melakukan siasatan..."

Pengetua pula bersuara.

"Kalau macam tu, saya sendiri akan jumpa dengan pihak polis supaya pelajar ini ditahan reman sehinggalah kes ini selesai. Saya akan buat laporan polis supaya dia direman!"

Yang Berhormat nampak mendidih kemarahannya.

Para guru hanya diam. Nak dibelanya pelajar itu tak termampu. Rekod disiplinnya tidak bersih. Rekod akademiknya juga teruk. Lagipun, memang pelajar itu dalam pemerhatian pihak sekolah untuk disingkirkan bagi menjaga nama baik sekolah.

Teacher mencelah dalam gugup.

"Yang Berhormat, maaf. Pada pandangan saya, pelajar itu dan anak tuan terperangkap di dalam stor. Tidak mungkin orang yang nak aniayai anak tuan sanggup untuk mengorbankan nyawanya sendiri bersama-sama dalam bangunan yang terbakar. Saya sendiri telah melihat tempat kejadian. Memang pada pintu ada rantai besi yang dimangga. Namun, mungkin kerana terjahan dari dalam, rantai besi itu akhirnya tercabut. Mustahil orang di dalam akan mengunci dirinya sendiri pula. Pintu stor lama tu hanya boleh dibuka dari luar. Bukan dari dalam, tuan."

"Kalau begitu, explain pula kenapa pada mayat anak saya, ada kesan tamparan atau tumbukan di muka?!"

Yang Berhormat menengking teacher.

Teacher terus terdiam. Kecut hatinya. Sidang mesyuarat pun terkejut dengan tindakan Yang Berhormat.

"Sebelum dia direman, saya nak jumpa dia sendiri. Sekarang! Panggil dia datang!"

Yang Berhormat mendengus kuat. Amarahnya tidak mampu dikawal lagi. Beliau boleh bertolak ansur pada isu politik. Namun, tidak pada isu kematian anaknya sendiri.

**

Zam melangkah masuk ke bilik mesyuarat. Dipersilakan duduk. Tangannya masih ada balutan kecil dan beberapa tampalan kesan ubat di wajahnya. Dengan wajahnya yang sudah berparut dan nampak tidak terurus, jejaka itu tidak ubah seperti seorang penjenayah, peragut, perompak, pencuri. Gengster.

Zam duduk di hadapan semua guru. Dia nampak lemah. Tidak bermaya. Tidak bersemangat. Hari ini dia datang juga ke sekolah atas permintaan pengetua sendiri untuk menyelesaikan isu kebakaran dan kematian yang berlaku di sekolah. Atas rasa tanggungjawab, dia beranikan diri melangkah ke sekolah. Zam tahu dan yakin, dia tak bersalah. Apa yang perlu dia takutkan.

Katalah yang benar. Walaupun yang benar itu pahit lagi melukakan.

Namun, pemergian abang jaga seolah-olah meragut moral dan semangatnya. Memperlahankan volume iman di dalam dirinya.

Jejaka itu tunduk menghadap lantai karpet.

"Terangkan pada kami apa sebenarnya yang telah berlaku."

Yang Berhormat mula bersoal-siasat.

Zam memandang Yang Berhormat. Kemudian, mulai bersuara.

"Pakcik, hari itu saya naik ke tingkat 4. Bila saya naik ke atas, saya dengar jeritan. Saya lihat anak pakcik terbaring kesakitan dalam stor. Saya masuk untuk bantunya. Kakinya terpijak paku. Kemudian, pintu ditutup dari luar tiba-tiba. Akhirnya, segala ini berlaku."

Zam tidak berterus-terang. Dia tidak ceritakan bahawa Faizal telah mengugut dengan memberikan nota kepadanya. Tidak menceritakan Faizal buat demikian kerana Cik Yuyu. Tidak beritahu yang Faizal telah rancang untuk bunuhnya di dalam stor dengan membakar stor tersebut. Bahawa plot rapi terancang bersama-sama gengnya.

Bagi Zam, Faizal sempat minta maaf padanya. Zam tahu Faizal telah insaf sebelum habis nyawa. Cukuplah. Tidak perlu dia dedahkan aib Faizal di hadapan semua orang. Faizal dah tiada. Kenapa perlu bongkar kekejian orang yang telah tiada? Kematian itu sendiri telah menjadi hukuman dan permulaan perjalanan dahsyat bagi seseorang. Sebab itulah, agama Islam tidak benarkan umatnya mencaci jenazah. Kematian itu sudah cukup menyakitkan. Kematian itu dari Allah sendiri. Mengapa kita perlu tambah menyakitkan lagi si mati? Tidak perlu.

Yang Berhormat tidak puas hati dengan jawapan Zam.

"Habis, kenapa anak aku tu ada kesan lebam di muka?"

Zam pandang mata Yang Berhormat.

"Saya tampar dia, pakcik."

Yang Berhormat bangun dari tempat duduknya.

"Kenapa?! Apa salah anak aku?!"

"Dia tak salah apa-apa. Saya ada bertekak dengannya dalam stor tu dan saya tamparnya sebab saya tak mampu tahan amarah saya sendiri. Maaf, memang salah saya."

Yang Berhormat datang makin dekat dengan Zam. Pengetua dah mulai berdiri sama. Tengok keadaan makin tegang.

Teacher berdebar-debar. Cikgu-cikgu lain cuma diam memerhati. Cikgu Syabab hanya berpeluk tubuh. Mendengar bait-bait perbicaraan. Enggan campur tangan.

Pang!!

Jejaka berparut itu ditampar di mukanya.

"Tamparan ini takkan mampu memadamkan marah aku dekat kau!"

Zam tertunduk bisu. Ingin saja dijawabnya,

"Tamparan ini juga takkan mampu menghidupkan kembali anak kau!"

Namun, dia memilih untuk berdiam. Menerima saja segala dengan reda. Berada di kandang pesalah, dari sudut apa pun tetaplah dia dipandang bersalah.

Teacher memandang insiden yang berlaku depan matanya dengan penuh geram. Lelaki tu anak yatim piatu. Lelaki itu bukan pelajar bermasalah seperti dulu. Lelaki itu tidak bersalah. Dia tahu. Dia tahu itu.

Zam mengangkat mukanya kembali. Mulai bersuara perlahan tetapi jelas.

"Pakcik, saya sedia terima apa saja hukuman yang pakcik nak berikan. Pakcik nak buat laporan polis, buatlah. Pakcik nak hantar saya ke penjara, hantarlah. Andai semua ini mampu buat hati pakcik kembali tenang, saya terima segala. Saya tak punya apa-apa di dunia ni. Tiada beza saya berada di balik tirai besi atau tidak."

Yang Berhormat sedikit tergamam mendengar kata-kata anak muda tu.

Pang!!

"Kurang ajar. Cabar aku!"

Sekali lagi ditamparnya budak itu. Berdarah bibir Zam. Terkena cincin yang dipakai Yang Berhormat.

Zam nampak lemah tiada daya. Tidak melawan. Tidak menunjukkan sedikit pun reaksi amarah.

Tiada seorang pun guru datang menghalang. Seolah-olah membiarkan.

"Cukuplah tu. Ini sekolah. Bukan lokap polis. Bawa bersabar."

Cikgu Syabab bersuara. Dia bangun lalu mendapatkan Zam.

"Awak sila masuk ke kelas dulu."

Teacher lega melihat Cikgu Syabab bantu meleraikan ketegangan mesyuarat yang dah tak macam mesyuarat. Syukur. Hatinya dah menangis dari tadi lagi pun. Nasib baik tak keluar air mata depan para guru.

"Kau jangan ingat kes ini habis di sini. Aku akan buat laporan polis hari ini juga!"

Yang Berhormat sempat mencemuh di saat Zam keluar dari pintu bilik mesyuarat.

**

"Zam, awak okay ke?"

Cik Yuyu menyapa dari tepi. Masa rehat. Melihat jejaka itu termenung sambil pegang sandwich yang dibelinya di kantin. Hanya dipegangnya, tak makan pun.

Zam hanya diam. Tiada senyuman terukir di bibir. Matanya memandang di kejauhan. Gadis itu mungkin tak tahu. Lelaki itu telah menggadaikan nyawanya demi 'menyelamatkannya' sekali lagi.

Cik Yuyu gelisah. Risau melihat Zam tanpa semangat. Tidak seperti Zam yang dikenalinya sebelum ini. Semangat yang hilang.

"Zam. Zam. Saya yakin awak tak bersalah dalam kes kebakaran sekolah tu. Saya tak percaya kata-kata orang sekeliling yang tuduh awak terlibat untuk menganiayai anak YB. Setahu saya, Faizal lah punca awak berada di dalam hospital dulu. Faizal juga yang datang cari saya hari kejadian. Saya yakin, semua ini rancangan Faizal. Bukan awak!"

Zam bangun. Berdiri.

"Dah, jangan sebut lagi tentang arwah. Orang dah tiada. Apa jua kesalahannya, biarkanlah. Aku sendiri tidak simpan di hati.

Arwah abang jaga pernah beritahu aku, Allah sendiri berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud,

'Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.'"

Cik Yuyu tidak puas hati.

"Tapi, kesalahan Faizal itu jelas nyata!"

Zam jawab,

"Firman Allah, Surah al-Nuur ayat 22 yang bermaksud,

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Bagi Zam, Faizal sempat minta maaf. Itu tanda besar hijrahnya.

Cik Yuyu diam kejap, kemudian bersuara.

"Benar kita kena memaafkan. Tapi, bukanlah sampai memudaratkan diri sendiri."

Zam jawab,

"..dan siapa yang menutupi (aib) seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari Kiamat.. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)"

Cik Yuyu mengeluh.

"Awak terlalu baik. Awak tak peduli ke orang-orang di sekeliling awak mengata, mengutuk, menghina awak dari depan, belakang, kiri dan kanan?"

Zam jawab,

"Besar manakah hinaan yang aku perolehi jika dibandingkan hinaan yang Rasulullah s.a.w. perolehi?

Hinaan yang Baginda dapati menyebabkan penduduk langit murka dengan penduduk bumi. Sehingga Jibril berkata kepada Nabi s.a.w.

"Sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata kaummu kepadamu serta tindakan mereka kepadamu. Allah mengutuskan kepadamu malaikat bukit supaya engkau arahkan dia apa yang engkau mahu lakukan terhadap mereka".

Malaikat bukit berkata kepada Nabi s.a.w.,

"Hai Muhammad, apa yang kamu mahu? Kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka Bukit al-Akhsyabayn (dua buah bukit di Mekah), nescaya akan aku lakukan!"

Jawab Nabi s.a.w.,

"Malah aku mengharapkan agar Allah s.w.t mengeluarkan daripada sulbi mereka keturunan orang-orang yang akan menyembah Allah semata-mata dan tidak mensyirikkannya."

Zam cuma mengungkapkan kembali kata-kata arwah abang jaga yang dituturkannya dulu-dulu.

Cik Yuyu terdiam tidak berkata apa-apa.

"Bagaimana dengan Syurga awak?"

Zam berpaling pada Cik Yuyu seraya berkata,

"Syurga Allah itu tetap di hati. Apa pun terjadi pada diri ini, tidak pernah berganjak sedikit pun impian aku ini."

Angin sepoi-sepoi bahasa singgah di saat si gadis dan si teruna itu berbicara. Menerbangkan dedaunan kering di lantai bumi.

"Kau jaga diri baik-baik mulai hari ini. Kau kena tahu ramai lelaki mahukan kau. Mereka akan cuba dapatkan kau dengan apa cara sekalipun. Sehinggalah hati kau tu jadi milik mereka. Kau kena tahu juga, wanita yang mengikat dirinya dengan Allah melalui solat dan sabar akan dilindungi Allah di setiap sudut dan inci. Andai diduga jua, itu kerana Allah nak naikkan darjat seseorang itu ke tahap lebih tinggi. Setiap darjat yang buat diri makin dekat dengan Allah. Jika manusia tahu betapa bestnya darjat yang paling hampir dengan Allah, sudah pasti mereka menerima setiap dugaan dengan tabah dan lapang hati..."

Zam terhenti bicara. Tidak meneruskan kata-kata. Apa yang diungkapkannya seolah melantun kembali kepada dirinya yang sedang down sekarang.

Cik Yuyu memandang sayu pada jejaka itu.

"Saya tak peduli dengan lelaki-lelaki yang cuma tergilakan wajah dan jasad. Saya cuma peduli pada lelaki yang peduli pada iman saya."

Kata-kata Cik Yuyu bergeser pada hati Zam.

"Mungkin bukan masa yang terbaik untuk saya luahkan. Mungkin awak akan kata saya tak malu atau terhegeh-hegeh. Tapi, demi Allah. Apa yang nak dimalukan berkata benar? Apa yang nak dimalukan mahukan lelaki yang ada iman, yang punya agama?

Andai cinta pada lelaki ada agama itu dilabel salah, haram, tak malu, perigi cari timba.. Apakah mencintai lelaki yang berbuat maksiat itu jadi halal, bermaruah dan mulia pula?

Lelaki yang peduli iman saya selain keluarga saya ada di depan saya. Lelaki itu adalah awak Zam. Hanya awak."

Jejaka itu terkedu. Tidak terkata apa.

Gadis itu adalah gadis yang paling dihormatinya di sekolah walaupun dia junior. Gadis itu jua yang telah 'membuat pengorbanan' di alam waktu komanya. Gadis yang sentiasa menyokong jatuh dan bangunnya.

Zam lihat mata Cik Yuyu berkaca-kaca. Faham, betapa sukarnya meluahkan rasa.

Tiba-tiba datang segerombolan polis menghampiri mereka bersama guru dan pengetua.

"Zam, kamu ditahan reman mulai hari ini untuk membantu siasatan kes kebakaran dan kematian yang berlaku di sekolah ini. Sila ikut kami."

Sambil menunjukkan waran yang dikeluarkan atas namanya. Zam tak sangka secepat itu peranan kuasa Yang Berhormat. Tak sampai satu jam dari mesyuarat tadi.

Cik Yuyu terkejut. Zam dibawa mereka tanpa digari.

Sempat Zam menoleh dan berpesan pada Yuyu.

"Kau, jaga diri baik-baik. Sebaik-baik jagaan adalah jagaan Allah. Ingat tu."

Yuyu hanya mampu melihat jejaka itu dibawa pergi masuk ke dalam kereta polis. Hampir-hampir saja kepalanya pening tiba-tiba. Terkejut yang amat.

Air matanya tidak tunggu lama.
Tumpah tidak bernada.


Part 1 Klik Disini        Part 11 Klik Disini     Part 21 Klik Disini
Part 2 Klik Disini        Part 12 Klik Disini     Part 22 Klik Disini
Part 3 Klik Disini        Part 13 Klik Disini     Part 23 Klik Disini
Part 4 Klik Disini        Part 14 Klik Disini     
Part 24 Klik Disini
Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor