Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
Powered by Blogger.

Written By Huyang Jho on Friday, June 20 | Friday, June 20, 2014


Memang kita berhak sama ada hendak memaafkan ataupun tidak.
Setelah seseorang melakukan kesalahan terhadap kita, kita berhak sama ada memberinya maaf ataupun membiarkannya terus dengan dosa-dosanya itu.
Kita boleh bersorak ria kerana mendapat pahala hasil perbuatan jahatnya terhadap kita manakala dia pula akan memikul dosa-dosanya sehingga hari Kiamat.
Bagaimana? Terasa lega?
Sesetengah orang memang begitu.  Maaf adalah sesuatu yang amat berharga dan tidak mudah memberinya walaupun diminta. Apalagi jika kesalahan itu berpunca dari satu kesalahan yang disengajakan dan amat menyakitkan hati.
Tidak mudah hendak mengatakan “Sama-samalah kita” setelah seseorang itu meminta maaf.
Dalam hati terdetik, ‘Padan muka engkau, umpat aku lagi, tipu aku lagi, sakitkan hati aku lagi, sekarang tanggunglah dosa-dosa engkau sampai kiamat.’
Bagaimana, apakah anda termasuk dalam golongan ini?
Memang tiada salahnya pendirian seperti itu, sebab ia akan menjadi satu pengajaran yang amat bagus kepada si pesalah tadi. InsyaaAllah dia akan serik tidak akan mengganggu anda lagi. Itu juga menandakan ketegasan anda dan pendirian anda tidak mudah goyah.
Sifat ini memang dimiliki oleh orang-orang yang kental jiwanya dalam menempuh hidup.
Tapi tahukah anda kesalahan yang tidak diselesaikan dengan maaf di dunia ini akan berlanjutan hingga ke Akhirat?
Di sana orang yang bersalah terpaksa membayar dengan memberikan pahala kebaikannya untuk menebus maaf daripada orang yang dizaliminya.
Hingga akhirnya dia muflis dan kerana itu dia dilemparkan ke Neraka.
Begitulah besarnya implikasi “maaf”.

Tegas dengan pendirian tidak mahu memaafkan

Sekali lagi, sama ada anda bertegas untuk tidak memaafkan ataupun memberi maaf, ia barangkali penentu kepada nasib seseorang yang bermasalah dengan anda di Akhirat.
Seorang teman pernah mengadu kepada saya. Katanya, si Ahmad (nama contoh) telah menipunya. Dia telah menyerahkan sebahagian besar simpanannya kepada Ahmad kerana bersimpati dengan kisah hidup Ahmad.
Menurut Ahmad, dia anak beranak terpaksa bermandi hujan apabila hujan turun di tengah-tengah malam.
“katanya rumahnya belum ada atap. Tak cukup duit untuk membeli atap zink. Aku bila dengar anaknya masih kecil, terpaksa pulak mandi hujan, jam itu juga aku keluarkan simpanan aku dan berikan padanya,” adu teman saya itu.
“Engkau beri saja atau beri pinjam?” tanya saya untuk pasti. Sebab jika dia menyerahkan duit itu tanpa perjanjian bertulis yang jelas menyatakan bahawa pemberian itu bermaksud memberi pinjaman, boleh dianggap pemberian ikhlas sahaja.”
“Aku beri pinjam, sebab dia datang pada aku pun memang nak pinjam duit. Kalau aku beri dia duit, tentulah maknanya aku  meminjamkan dia duit.”
“Ahmad ada janji bila nak bayar?”
“Ya, pada hujung bulan. Sekarang ini dah dekat setahun. Yang buat aku marah ni, dia tipu aku. Sebenarnya dia bukan nak beli atap rumah, dia pergi joli entah kemana-mana. Dia duduk dengan mentua dan tak pernah nak bina rumah. Dia tipu aku bulat-bulat. Macam mana aku tak marah. Lagi pulak, sekarang ini dia marah-marah aku bila aku tuntut hutang dengan dia. Macam aku pulak yang berhutang dengan dia. Cis!” Marah betul teman saya itu.
“Jadi, kau nak halalkan saja atau macam mana?”
“Halal? Biar sampai kiamat, aku tak halal!”
Ketegasan kawan saya ini memang patut berdasarkan latar belakang kes ini. Dan dia berhak berpegang pada ketegasan itu. Tiada salahnya.
Tapi, andai andalah orang yang bersalah itu, dan anda telah meminta maaf dengan mengakui semua kesalahan anda, dia masih bertegas untuk tidak memaafkan anda, bagaimana rasanya?
Dan jika andalah manusia yang bernama Ahmad itu dan anda telah menjelaskan hutang anda tetapi dia masih tidak memaafkan, bagaimana?
Sebab itulah kita kena berhati-hati dalam menjalani hidup. Seboleh mungkin jangan lakukan sebarang kesalahan terhadap manusia terutama yang melibatkan hutang, sebab implikasinya sangat besar.

Kisah menarik dari Rasulullah SAW

Bagi anda yang pernah mengalami nasib seperti teman saya itu tadi, mari kita cuba renungkan sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan buatlah pilihan sama ada bertegas TIDAK MEMAAFKAN atau sebaliknya. Pilihan memang hak anda.
Kisahnya begini, suatu hari, tatkala melihat Rasulullah SAW tertawa sendirian Saidina Umar pun bertanya apa sebabnya.
Jawab Rasulullah SAW, “Ada dua orang umatku yang memperhitungkan hak-haknya. Yang seorang berkata, “Ya Allah, berikanlah hak-hakku yang dizalimi oleh orang itu”
Berfirman Allah SWT, “Berikanlah haknya yang telah engkau zalimi itu!”
Menjawab orang yang dituntut itu dengan sedih, “Ya Allah, wahai Tuhan ku. Sesungguhnya kebaikanku telahpun habis semuanya, maka tiadalah lagi yang dapat aku berikan kepada orang ini.”
Dijawab oleh orang yang menuntut itu, “Oleh itu engkau mesti menanggung segala dosaku sebagai gantinya.”
Tatkala ini, kelihatan Rasulullah SAW mengalirkan air matanya menahan kesedihan lalu meneruskan sabdanya, “Kemudian Allah SWT berfirman kepada orang yang menuntut itu, “Angkatlah kepalamu dan lihatlah Syurga.”
Apabila dilihat oleh si penuntut itu Syurga yang penuh di dalamnya kota-kota yang berlantaikan perak dan gedung-gedung indah daripada emas bertahtakan intan permata, yang elok-elok, dia bertanya, “Apakah semua itu untuk Nabi-nabi atau apakah untuk orang syahid?’
Maka dijawab oleh Allah SWT, “Itu untuk sesiapa sahaja yang sanggup membayarnya!”
Maka kata si penuntut itu, “Ya Allah, siapakah yang memiliki harta yang banyak untuk membeli Syurga yang amat hebat itu.”
Dijawab oleh Allah SWT, “Engkau pun dapat membayarnya, iaitu dengan mengampuni orang yang telah menzalimimu itu.”
Maka kata si penuntut itu, “Kalau begitu aku sanggup mengampuni dosanya terhadapku..”
Firman Allah SWT, “Pimpinlah tangan orang itu bersama-sama ke dalam Syurga itu.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Maka berbuat baiklah kepada saudaramu sesama Muslim.”

Penutup

Pada pandangan saya, memaafkan seseorang adalah suatu perkara yang sangat sukar dan bukan semua orang mampu melakukannya, dengan ikhlas.
Hanya mereka yang berjiwa besar sahaja mampu memberi maaf seikhlas hati.
Bagaimanakah anda? Apakah senang untuk anda melupakan kesalahan seseorang terhadap anda? Mampukah anda memberi kemaafan seikhlas hati? :’)




www.nikibnorhafis.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor