Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Wednesday, August 17 | Wednesday, August 17, 2011

BERBUKA puasa di awan biru di dalam kapal terbang tidak dapat dielakkan bagi yang terpaksa memilih penerbangan yang melalui waktu Maghrib. Mungkin menyeronokkan bagi setengah orang, mungkin juga menyedihkan. Seronok sekiranya bersama orang tersayang atau kawan. Sedih sekiranya perlu melaluinya sendirian.
Bagi penulis yang merasai pengalaman ini buat pertama kali dalam penerbangan pulang dari Sabah, ia suatu pengalaman yang sangat menarik. Baru diketahui bahawa waktu berbuka di awan biru lebih lambat sekitar 10 minit berbanding di daratan kerana faktor cuaca. Setelah pasti masuknya waktu Maghrib di awan biru, barulah kapten kapal mengumumkan waktu berbuka kepada seluruh penumpang Muslim.

Selain berbuka bersama penumpang Muslim, dapat juga melihat anak kapal Penerbangan Malaysia (MAS) hari itu menjalankan tugas mereka.

Kena berpuasa dan berbuka di awan biru kerana membabitkan perjalanan, ia mungkin untuk sekali sekala saja, berbanding anak kapal MAS yang perlu melakukan sepanjang Ramadan.


Hazarina Mohamed, 36, tidak menafikan, pengalaman awal berpuasa dan berbuka di awan biru agak menyedihkan mungkin kerana dirinya yang masih baru dan tidak biasa ketika itu.

“Waktu itu masih muda jadi tentu ingat keluarga waktu berbuka, tetapi kerana ada kawan bersama, semuanya dapat diatasi,” kata anak kelahiran Kuching, Sarawak ini.

Pengalaman kerja 16 tahun sebagai pramugari MAS terutama di bulan mulia sangat bererti bagi Hazarina.

“Berpuasa sambil bekerja sudah jadi perkara biasa walau tidak dinafikan penerbangan yang panjang seperti ke London yang mengambil masa 20 jam agak meletihkan berbanding biasa. Jadi beberapa hari pertama perlu menyesuaikan diri dulu,” katanya.

Sambungnya, selain penerbangan domestik dia juga bertugas di penerbangan antarabangsa.

“Walaupun penat, kerja tetap berjalan seperti biasa. Minggu pertama Ramadan agak letih sedikit, tetapi selepasnya jadi rutin biasa. Tentu saja perasaannya berbeza berbuka di daratan dan di awan biru kerana di awan biru hanya bersama rakan sekerja.

“Apabila sampai waktu berbuka, saya selalunya menjamah sedikit makanan ala kadar.

“Saya minum air dulu dan meneruskan kerja menghantar makanan kepada penumpang.
Setelah semuanya selesai barulah berbuka,” kata ibu kepada dua anak berusia tujuh dan lima tahun ini.

Saat berbuka dengan keluarga kecilnya itu juga terhad memandangkan suaminya juga pramugara MAS.

Cerita Hazarina, kebanyakan penumpang Muslim juga teruja berbuka di awan biru terutama yang merasai pengalaman pertama. Seperti di mana-mana, ragam berbuka juga pelbagai.

“Ada yang mahukan minuman panas, pencuci mulut dan lebih roti. Sebenarnya berpuasa di awan biru ini tak terasa perjalanan masanya kerana setiap waktu kami penuhi dengan kerja.

“Saya pernah melalui penerbangan yang panjang ke Eropah sehingga bersahur dan berbuka sekali di atas kapal terbang. Pengalaman yang sangat menarik bagi saya kerana ia sesuatu yang berbeza,” katanya.

Selepas 16 tahun, Hazarina sudah biasa tidak bercuti panjang sebelum Syawal.
Tahun ini dia mula bercuti raya pada pagi 30 Ogos, sehabis tugasannya dari Amsterdam.

Norazanina Abdul Rahman, 38, melalui pengalaman berpuasa dan berbuka di awan biru selama 19 tahun bersama MAS. Ibu kepada seorang anak berusia dua tahun ini biasanya berbuka dengan membasahkan tekak dengan seteguk air dan terus menyambung kerja memastikan semua penumpang Muslim selesa berbuka puasa.

“Pertama kali berpuasa dan berbuka di awan biru 19 tahun lalu memang sedih kerana mengenangkan keluarga di Ipoh. Tetapi saya memikirkan keseronokan di sebaliknya. Ia cabaran yang perlu ditempuhi.

“Kini saya anggap ia pengalaman manis kerana berbuka dengan rakan sekerja setelah sama-sama menyelesaikan tugasan sangat menyeronokkan. Sebenarnya tak kisah berbuka di mana asalkan bersama kawan-kawan baik kita,” katanya.

Jadual kerja membuatkan Norazanina, anak kedua daripada lima beradik sudah biasa bersahur di rumah dan berbuka di awan biru. Hatinya terkenang juga pada suami yang berbuka di rumah, tetapi segalanya terubat dengan menyelesaikan kerja sebaik mungkin.

Mengenai menu berbuka di awan biru, ia sama saja dengan menu makan malam bagi yang tidak berpuasa cuma tambahan istimewa ada disediakan kurma bercoklat yang enak.

Tahun ini, Norazanina akan mula bercuti raya pada 29 Ogos sehabis kerjanya dari Brisbane.

Maria Khalid, 29, anak kelahiran Kuala Lumpur berasa setiap detik pengalamannya berpuasa dan berbuka di awan biru sangat istimewa. Gadis yang masih bujang ini sudah lapan tahun bersama MAS sebagai pramugari.

Seperti rakannya yang lain, Maria tangkas memastikan penumpang yang mahu berbuka puasa dihidangkan makanan tepat pada masanya.

“Berpuasa dan berbuka semasa waktu kerja di awan biru pengalaman yang menyeronokkan bagi saya. Perasaan sedih tak ketara kerana bagi saya ini cara kerja saya.

“Sebenarnya seronok dapat menghidangkan juadah berbuka kepada penumpang Muslim dulu, kemudian baru fikir diri sendiri. Seperti rakan sekerja yang lain, saya berbuka cukup sekadar minum air saja,” katanya.

Kata Maria, penat berpuasa memang biasa, tetapi kepenatannya berbeza sekiranya berada di penerbangan antarabangsa kerana masanya yang panjang dan perlu banyak bercakap dalam melayan penumpang.

Maria tidak menafikan ka–dangkala teringat juga juadah bazar Ramadan yang enak seperti kegemarannya, nasi ke–rabu. Namun, dia akan menikmati semua itu ketika cuti. Anak ketiga daripada tujuh beradik, Maria akan mula bercuti raya pada 29 Ogos sepulangnya dari tugasan di Jeddah kelak.

Namanya Paulson Rose, 36, anak Bidayuh dari Sarawak. Dia adalah rakan sekerja Hazarina, Norazanina dan Maria yang sudah bersama MAS selama 15 tahun. Dua tiga tahun kebelakangan ini Paulson mula berpuasa kerana menjadi saudara baru. Nama Islamnya Azril Rose, Paulson kini mempunyai seorang anak bersama isterinya, wanita Melayu dari Kelantan.

“Dua tahun lalu saya masih di peringkat melatih diri berpuasa jadi belum dapat berpuasa penuh. Alhamdulillah, tahun ketiga ini saya sudah boleh membiasakan diri dan setakat ini belum tinggal puasa lagi,” katanya.

Jika dulu ketika masih beragama Kristian, Paulson menghidang makanan kepada penumpang Muslim bagi berbuka puasa, tetapi kini setelah dirinya sendiri bergelar Muslim dia berasa pengalaman baru itu sangat indah.

“Bila diri sendiri turut berpuasa sukar saya jelaskan rasa seronok dan nikmat pada diri walau tidak dinafikan memang menguji kesabaran,” katanya sambil menambah rakan selalu bertanya sekiranya dia larat berpuasa, begitu juga isterinya yang sentiasa mengambil berat.

Ramai yang tahu Paulson sudah memeluk Islam, ramai juga yang tidak tahu. Sebab itu Paulson mengamalkan memberi salam kepada penumpang Muslim sebagai pengenalan dirinya.

Juadah berbuka Paulson sentiasa sederhana kerana katanya, sesuai dengan sunnah nabi yang menyarankan begitu. Paulson bercuti raya pada 30 Ogos sebaik menyelesaikan tugasan dari Bali.

Shahidayani Othman, 26, seperti penulis juga hari itu, sama-sama pertama kali merasai pengalaman berbuka di awan biru bersama penerbangan MAS dari Sabah.
Anak kelahiran Klang yang bekerja di Damansara, Shahidayani memang teruja merasai pengalaman ini.

“Terfikir juga saya akan berbuka seorang diri di atas kapal terbang. Apakah rasanya nanti? Tetapi sebenarnya saya ingin merasai pengalaman ini,” kata gadis bujang ini.

Tampak jelas Shahidayani pandai membawa diri dan tidak kisah berbuka sendirian.

“Saya memilih menu nasi beriani dan ayam untuk berbuka nanti,” katanya sambil sama-sama menunggu waktu berbuka bersama penulis.
Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor