Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Saturday, May 10 | Saturday, May 10, 2014

Tunangku Tidak Tampan. 
Part 15
-----

Zam sugul menanti. Dengan kopiah putih di kepalanya. 

Pihak hospital telah selesai memandikan dan mengkafankan jenazah bondanya. 

Zam berada di sisi arwah ibunya dalam van jenazah. Menuju ke masjid.

Ditatap wajah ibunya. Cukup tenang seakan sedang tidur sebagaimana yang sering diperhatikannya saban hari. Usai lelah menjahit, ibunya baring berbantalkan lengan di sebelah mesin jahit. Anak lelakinya itulah yang pilu hati melihat bondanya begitu. Lantas segera menggantikan dengan bantal empuk miliknya.

Wajah ibunya ketika itu. Tidak beza sedikit pun dengan yang dilihatnya sebelum-sebelum ini. Cuma kali ini, wajah itu ada tempoh dan waktu. Selepas sejam lagi, Zam tidak dapat lagi menatap wajah tenang ini.

Kali-kali terakhir.

Insan yang mana sanggup melepaskan orang tersayang pergi selama-lamanya?

Zam terfikir hikmah di sebalik nasihat, teguran, kemarahan, sinisan, segala yang pernah keluar dari bibir ibunya selama ini. Benarlah. Kita tak akan dengar bebelan dan leteran ibu selama-lamanya. Bebelan ibu dan ayah akan dirindui anak-anak yang punya hati. Leteran mereka tidak pernah untuk menjatuhkan. Tetapi demi membangkitkan semangat anak mereka. Benci dan marah tidak pernah kekal di hati para ibu bapa.

Bila dah dewasa, bila ibu dah tiada. Bila ayah dah uzur berusia. Maka siapa yang akan membebel lagi kepada kita? Siapa yang nak tegur kita tanpa segan silu lagi? Siapa yang boleh marah direct kepada kita tanpa berlapik?

Tiada lagi.

Zam teringat kata-kata ustaz kelasnya. Patutlah Allah sendiri menyuruh "Birrul Waalidaini" iaitu berbuat baik sehabis baik kepada orang tuamu hatta ibu bapa itu kafir sekalipun. Kerana mungkin bukan sebab mereka, kita bukan kita hari ini. Mungkin kita hari ini adalah cetusan air mata doa seorang ibu. Mungkin kita hari ini kerana perit jerih titisan peluh keringat ayah kita semata.

Jika bukan kerana mereka yang pakaikan stokin kecil pada kaki kita semasa bayi, dengan izin Allah belum tentu kita sihat mampu berjalan ke serata dunia hari ini.

Zam cuba menahan air yang sudah bertakung banyak dari tadi di kolam air matanya dari meluncur ke bawah. Tahan sekuat hatinya. Kerana dia jarang menangis di hadapan ibunya ketika masih hidup. Tidak mahu jua menangis sekarang. Ustaz kata, roh arwah akan mengiringi jasad kaku hinggalah sampai ke kuburan. Fikirnya, roh ibu jua sedang memerhati dirinya sekarang. Tak nak roh ibunya dukacita melihat dirinya.

Sampai di masjid.

Dilihatnya jemaah sudah ramai menanti. Abang jaga, sebilangan kecil guru, Cikgu Syabab, teacher, Cik Yuyu sudah menanti sama.

Abang jaga datang memeluk tubuh Zam erat-erat. Gosok-gosok belakangnya tanda cuba menenangkan.

"Sabar.

Kau bakal ketemu lagi dengan ibumu dalam perjalanan ke Syurga. Jika benar bernasib baik jadi ahli Syurga Firdausi yang tertinggi, sekali lagi kau mampu berjumpa ibumu. Syurga itu reserved untuk anak soleh. Seperti kau. Dugaan tingkat tinggi, Syurganya jua tingkat tinggi."

Hampir saja terhambur segala air matanya saat abang jaga melafazkan kata-kata ini di telinganya.

Jenazah ibu sudah sedia disolatkan.

Jemaah sudah memenuhi ruangan masjid. Zam yang berada di belakang imam, tiba-tiba menahan imam dari bersolat.

"Ustaz, ajar saya jadi imam solat jenazah. Tolong. Saya tidak pernah berjasa pada ibu saya. Tolonglah. Biar saya jadi anak yang betul-betul anak kepada ibunya. Buat kali pertama dan terakhir. Tak pernah saya jadi imam pada ibu sendiri."

Zam pegang erat tangan pak imam. Imam tersenyum. Tepuk-tepuk bahu Zam.

"Boleh. Caranya begini. Oleh kerana jenazah ini jenazah wanita, kepalanya sebelah kanan imam dan imam berdiri di aras pinggangnya. Mulai dengan niat ringkas, 'Sahaja aku solat ke atas mayat wanita ini empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Ta'ala atau sebagai imam kerana Allah Ta'ala'.

Takbir pertama adalah dengan niat. Disusuli dengan baca al-Fatihah. Takbir kedua, disusuli dengan selawat ke atas Nabi sebagaimana kamu selawat dalam tahiyyat akhir. Takbir ketiga, bacalah doa. Ringkasnya doa begini,

'Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu 'anha'. Maksudnya Ya Allah! Ampunilah baginya dan kasihilahnya, 'afiatkannya, dan maafkanlah kesalahannya.. Doanya lagi panjang, tetapi memadailah dengan itu. Jika susah juga, doalah apa saja yang baik-baik untuk arwah.

Takbir keempat, disusuli dengan doa supaya permohonan doa kita diterima Allah dan doakan sekali orang yang masih hidup ini mendapat hidayah dan petunjuk serta jauh dari fitnah.

Kemudian, beri salam kanan dan kiri. Solat jenazah tak perlu rukuk atau sujud. Nak lebih terperinci doanya dalam Bahasa Arab, kena belajar lepas ni."

Zam mendengar dengan teliti dan cuba praktik sekali depan imam untuk semakan. Setelah imam puas hati, dipersilakan Zam untuk mengimami para makmum.

Itulah kali pertama Zam jadi imam pada ibunya sendiri. Sampai saat doa pada arwah, air matanya bercucuran tak mampu dibendung lagi. Doa yang direndam air mata adalah doa yang mustajab. Itulah bezanya antara anak sendiri dengan orang lain yang solatkan jenazah. Doa lebih tulus. Kerana ianya datang dari lubuk hati yang paling dalam. Andai orang lain yang menjadi imam, belum tentu doanya sepenuh perasaan. Mungkin hanya sekadar melepaskan kewajipan fardu kifayah semata-mata.

**

Semua orang sudah beransur pulang dari tanah perkuburan. Tinggal Zam termenung sendirian di pusara ibunya. Kakak-kakaknya belum sampai. Mungkin esok lantaran perjalanan jauh ambil masa yang panjang.

"Jangan risau, Ma. Zam akan pastikan Ma tenang di sini. Hanya anak soleh akan buat ibunya bahagia, kan?

Cuma Zam terkilan. Ma tak sempat lihat anak Ma ni jadi pemuda agama."

Zam berbicara sendirian depan pusara ibunya.

Langit mendung. Manik-manik hujan mulai berderai ke tanah.

"Zam, mari saya hantarkan awak balik."

Teacher menyapa dari belakang Zam. Zam tidak berpaling. Lalu menjawab ringkas,

"Hati saya di sini. Siapa lagi yang ada di rumah? Dulu, ibu yang menanti anak lelakinya ini pulang ke rumah.

Sekarang....siapa..?"

Gumam Zam dalam tutur yang tidak tersusun. Ada getar pada suaranya. Sebak.

Teacher tak mampu menyekat air matanya dari turun jua.

Sudahlah hatinya masih tidak habis rasa bersalah buat jejaka di hadapannya itu rosak wajah. Sekarang, jejaka itu sudah jadi anak yatim piatu. Dalam fikirannya, mungkin dulu Zam mengadu kasih pada ibunya. Mungkin mengadu sakit pedih parut di mukanya pada si ibu. Sekarang, siapa yang sudi merawat parut di hati yang sedang berdarah kembali?

Dalam hati teacher, tiba-tiba terbit rasa. Untuk buat lelaki depannya itu bahagia. Tapi bagaimana?

Zam berpaling.

"Marilah balik. Tak mengapa, walaupun ibu saya dah tak ada, Allah kan masih ada?"

Teacher terkedu dengan kata-kata Zam. Dari mana datangnya semangat seperti ini?
Benarlah kata-kata itu bagai memujuk diri.

Namun, ya amat sahih.

Alasan untuk bahagia itu adalah Allah.
Alasan untuk hidup jua adalah Allah semata-mata.

Hujan turun dengan lebatnya. Zam meredah hujan lebat.

Teacher cuba kongsikan payung yang dibawanya. Tapi, Zam lebih suka berhujan. Enggan berpayung dengan teacher.

Kerana bagi Zam, tiada siapa dapat bezakan antara air matanya dan air hujan saat itu.

Teacher bersuara dalam hujan lebat,

"Zam, sebentar. Saya ada sesuatu nak bagitau awak."

Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor