Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Saturday, May 10 | Saturday, May 10, 2014


Tunangku Tidak Tampan. 
Part 14
-----

"Sehari ada 24 jam. Tolak 6 hingga 8 jam waktu tidur. Ada beberapa belas jam lagi. Tolak waktu kerja atau ke kelas 8 hingga 10 jam lagi. 

Sekarang tinggal satu atau dua jam waktu personal.

Malangnya, satu atau dua jam itu ramai orang sekarang habiskan dengan gajet dan komputer.

Bila masa untuk baca al-Quran?"

Abang jaga bersandar di tepi pagar sekolah. Jam menunjukkan pukul 11 malam.

"Sebenarnya, manusia itu tidak kira muda atau tidak. Manusia itu sehari ke sehari, ia makin lemah. Jasad nampak mantap, gagah dan kuat. Tapi, dalaman....."

Zam cuma memerhati abang jaga. Sambil memikirkan kebenaran kata-kata beliau.

"Kau nak aku buat apa?" Zam bertanya serius.

"Jadikan hidup kau cuma ada 22 jam sehari."

Abang jaga berdiri tegak memandang Zam penuh serius. Senyum kambing.

"Hah? Dua jam lagi ke mana?"

"Waktu bercinta dengan al-Quran. Dua jam sehari. Mampu? Aku cabar kau."

Abang jaga meletakkan tangannya di bahu Zam. Zam pandang tajam mata abang jaga. Zam bersuara geram. Pantang dicabar kelakiannya.

"Mampu. Kalau kau pun mampu."

Dicabarnya balik abang jaga.

"Baiklah. Esok kita mulakan. Cuba habiskan baca 10 muka surat atau 20 muka surat bersamaan 1 juz sehari.

Tapi, jangan buat demi sahut cabaran. Buatlah demi Tuhan. Allah berikan manusia masa 24 jam untuk hidup sehari-hari. Dia luangkan setiap detik dalam tempoh itu bersama-sama hamba-Nya. Dia mendengar harapan, keluh-kesah, adu sakit, rintih tangis.

Jika Allah sudi luangkan masa yang sebegitu panjang untuk hamba. Mengapa tidak hamba luangkan secebis dari masa itu untuk Allah pula?

Allah dah jadikan kita sebegini istimewa. Mengapa tidak kita betul-betul letakkan Allah di hati kita lebih istimewa dari segala-galanya?

Selama ini kita hanya treat Allah sebagai Yang Mengabulkan Doa saja. Masa nak sesuatu, baru kita cari Dia. Masa sedih, baru cari Dia. Masa sulit, masa sakit, baru cari Dia.

Nampak tak betapa kita ni pentingkan diri?"

Zam tersenyum. Abang jaga direnungnya lama-lama.

"Kenapa kau jadi jaga je? Kenapa tak jadi ustaz?"

Abang jaga pandang bulan.

"Sebab nukilan agama ini bukan milik ustaz. Allah tak sebut orang itu, orang ini yang bawa mesej agama. Tapi, acapkali Dia sebut, 'orang-orang yang beriman', 'orang yang beramal soleh', 'orang yang bertaqwa'. Sesiapa pun layak ajak kepada Tuhan. Ada beza antara orang yang seru kepada agama dan orang yang ahli dalam membahaskan hukum-hakam. Nak tahu hukum yang betul, rujuk ustaz. Bukan aku.

Kerana aku tidak pakar hukum hakam, selok belok agama. Sebab itu aku jaga sekolah ni. Bukan gaji besar yang aku harapkan. Cukuplah keberkatan gaji kecil ini buat aku tenang jalani kehidupan. Orang banyak duit, mereka mampu beli macam-macam yang mereka nak. Tapi orang miskin macam aku, perlu belajar erti sabar dan reda sebelum berangan beli sesuatu. Juga perlu banyak sabar dengan pandangan dan pendapat orang sekeliling tentang pekerjaan aku ini."

Zam terdiam lama. Dalam hatinya, benarlah dunia ini tidak pernah adil. Orang yang ada duit dipandang tinggi dan sebaliknya. Orang ada kerja tetap dipandang sebagai seorang yang boleh bagi jaminan hidup. Orang yang tiada kerja tetap, kerja sementara, kerja pindah-randah, dipandang sebagai orang yang tidak boleh diletakkan kepercayaan tinggi. Tidak boleh dijadikan sandaran.

Terfikir jua apa terjadi dengan masa depannya.

**

Pagi.

Hari ini perhimpunan tergempar diadakan di sekolah. Semua pelajar beratur dalam barisan mengikut tingkatan masing-masing. Dari tingkatan 1 hinggalah 6 atas. Mereka nampak tertanya-tanya sesama sendiri motif diadakan perhimpunan tersebut. Sebab bukan pada hari Isnin sebagaimana perhimpunan mingguan.

"Ujian Pengesanan Satu telah berakhir baru-baru ini. Resultnya telah pun keluar. Setiausaha peperiksaan telah pun edarkan keputusan masing-masing melalui guru kelas. Cikgu pasti semua pelajar telah pun mendapat keputusan keseluruhan masing-masing juga.

Tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya. Cikgu harap kekalkan kejayaan ini dalam Ujian Pengesanan Dua bulan lima nanti. Tidak lupa ucapan takziah kepada mereka yang merosot pencapaiannya. Perlu tingkatkan lagi usaha untuk dapat A+ dalam setiap mata pelajaran."

Guru penolong kanan HEM berucap di hadapan.

"Tahun-tahun sebelum ini, pihak sekolah telah memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang gagal dalam peperiksaan untuk membaiki keputusan mereka di tahun-tahun yang baru. Namun, dukacitanya masih ada pelajar yang mensia-siakan peluang ini.

Masih ada pelajar yang GAGAL semua subjek yang diambilnya. Sudah banyak kali pihak sekolah nasihatinya termasuklah diberikan kaunseling. Namun, tidak diendahkannya mungkin.

Maka, hari ini pihak sekolah akan memberikan hukuman kepada pelajar ini kerana masih tidak sedar-sedar akan kesilapannya.

Jadi, dengan ini, dijemput pelajar tingkatan 6 Bestari yang bernama.."

Nama Zam diseru oleh PK HEM. Disuruh ke depan perhimpunan.

Pelajar-pelajar bising seketika saat Zam berjalan keluar ke depan.

"Sila berdiri di tiang bendera. Pelajar ini cikgu rasa semua pelajar kenal sebagai pelajar paling gengster di sekolah kita ini. Jadi, hari ini, beliau dihukum berdiri di tiang bendera di dataran perhimpunan ini hinggalah habis masa rehat!

Digantung 3 hari persekolahan juga berkuatkuasa esok atas pelbagai kesalahan disiplin!"

Pelajar-pelajar bersorak. Seolah-olah suka dengan keputusan itu.

"Woo padan muka botak!"

"Taiko akhirnya K.O!"

"Taiko koko crunch rupanya. Wahaha!"

"Rasakan!!"

"Orang suruh datang sekolah untuk belajarlah, bodoh!"

"Woi, dahlah hodoh, botak, bangang pulak tu! Pakej la kau ni!"

Pelajar-pelajar lelaki yang pernah dibantai Zam dulu-dulu mencemuh dan menghinanya. Benci sungguh mereka pada Zam.

Akhir sekali, perhimpunan ditutup dengan ucapan pengetua.

"Awak semua jangan jadi macam abang awak yang di depan ni. Belajar rajin-rajin. Jadi orang yang berguna untuk bangsa dan negara. Kalau asyik nak bergaduh, buat hal di sekolah, lebih baik kamu masuk sekolah juvana saja. Dalam tu dah tentu boleh bergaduh dengan warden dan pelatih lain setiap hari. Ingat, kita datang sekolah bukan nak jadi samseng."

Guru-guru pun nampak puas hati dengan keputusan itu. Guru disiplin senyum lebar. Gelak-gelak bersama guru yang lain.

Teacher memandang Zam dengan rasa sayu. Sedih. Namun, apakan daya itu adalah keputusan sekolah.

Zam berdiri utuh di tiang bendera. Tenang saja. Dipandangnya muka guru seorang demi seorang. Direnungnya wajah kawan-kawannya satu sekolah.

Tersengih sendiri.

"Heh. Terbaik." Getus hati Zam.

Perhimpunan bersurai.

Tinggallah Zam berdiri berseorangan di medan perhimpunan yang panas terik matahari di atas kepala. Bahangnya kian terasa apabila pagi mulai beranjak ke tengahari.

Zam bersabar. Dia ingat segala pesan abang jaga. Sabar dan terus sabar saja. Bila perbuatan buruk telah pun dapat balasannya di dunia, maka di akhirat kelak neraca dosa jadi lebih ringan. Dia nak masuk Syurga. Persetankan saja balasan berdiri panas di dunia ni. Panas di Mahsyar belum tentu mampu berdiri andai ke sana dengan dosa berguni-guni.

Sudah dua jam Zam berdiri.

Lututnya sedikit kebas. Peluh mencurah-curah dari kepalanya. Rambutnya yang jarang-jarang itu tidak mampu menjadi penebat sang suria. Straight ke kepalanya. Serasa membakar ubun-ubunnya.

Tekak Zam kering. Kaki lenguh-lenguh. Kepalanya sedikit pening.

Yuyu melihat dari kejauhan jejaka itu berdiri teguh tidak berganjak mahupun melawan. Pelajar-pelajar yang lalu berhampirannya hampir semua mengeji, mengutuk dan mencaci. Melihat dengan pandangan yang sangat jelik.

Dia tak sanggup tengok. Dia tak tahan tengok jejaka yang pernah selamatkan maruahnya itu diperlakukan sedemikian.

Lantas dia minta diri keluar sekejap dari kelasnya.

Yuyu berjalan ke arah Zam. Zam hanya tunduk ke bawah. Bertahan.

"Nah. Pakai ni."

Yuyu meletakkan sapu tangannya di atas kepala Zam. Agak besar sapu tangannya sehingga meliputi kepalanya yang botak.

Zam terkejut sedikit dengan tindakan Yuyu.

"Sekurang-kurangnya otak awak tu tak cair kena sinaran matahari."
Yuyu mengomel ringas. Kemudian, dia terus berlalu ke kelas.

Pelajar-pelajar lain yang tengok kelakuan Yuyu pada Zam bertepuk tangan dari dalam kelas masing-masing.

"Woo. Sweet couple! Beauty and the beast! Wekk!"

Yuyu tidak peduli kata-kata mereka. Terus saja berjalan ke kelasnya.

Zam tidak mengalihkan sapu tangan Yuyu. Dibiarkan saja. Memang kepalanya perlukan sesuatu seperti itu.

Cikgu Syabab menahan Yuyu.

"Kamu buat apa tu?"

"Letak sapu tangan. Dia cuma dihukum berdiri. Tidak dihukum tidak boleh tutup kepalanya, kan?" Yuyu cuba jawab sesopan mungkin.

"Kamu ada apa-apa ke dengan si Zam tu?"

Yuyu mendongak tengok Cikgu Syabab.

"Suami saya. Minta diri dulu."

Yuyu terus berlalu meninggalkan Cikgu Syabab terkebil-kebil sendirian. Cikgu Syabab mengeluh sendirian,

"Ish, budak-budak zaman sekarang..."

**

Tiba-tiba Sufi datang berlari ke arah Zam yang tengah berdiri.

"Zam! Mak kau!"

Zam terbeliak mata.

"Apa dah jadi?!" Zam bersuara lantang.

"Mak kau masuk hospital. Kebetulan aku lalu di pejabat tadi, terdengar PK HEM bercakap-cakap dengan guru disiplin yang dia dapat panggilan mengatakan mak kau dikejarkan ke hospital. Dah setengah jam tadi. Guru disiplin kata nak habiskan hukuman kau ni dulu. Baru bagitau kau. Katanya takpe orang hospital kan boleh take care mak kau di sana."

Zam merah padam muka. Marah. Sangat marah. Berita yang sebegitu penting enggan disampaikan kepadanya dengan segera.

Terus dia berlari ke arah tempat parking motornya. Tak pedulikan lagi hukumannya itu.

Bila sampai di parking motor. Dia tengok kedua-dua tayar motosikalnya flat. Dibocorkan orang. Dia nampak kelibat pelajar tingkatan 5 ketawa terkekek-kekek dari dalam kelas.

Sekarang dia berlari ke pondok jaga. Ah! Lupa. Abang jaga shift malam saja. Tak boleh pinjam motor dia.

Zam tekad. Dia akan berlari ke hospital.

Pagar sekolah yang tutup itu terus dipanjatnya. Tak peduli lagi. Pengetua, PK HEM dan guru disiplin menjerkahnya dari tingkat atas melihat lelaki itu panjat tembok sekolah. Tidak dipedulikannya.

Tak kisah apa-apa lagi. Dia terus berlari ke arah hospital yang jauhnya 3 kilometer dari situ.

**

Tiba di hospital dengan peluh membasahi diri.

Diterpa doktor dan misi.

Doktor menggelengkan kepala. Minta maaf pada Zam.

Zam berlari ke wad ibunya. Mendapatkan ibunya.

Jasad itu yang ceria semalam. Kini kaku diam di hadapannya. Zam memeluk ibunya erat-erat. Tangisan berhamburan keluar dari sepasang matanya tidak tertahan lagi.

Doktor menghampiri Zam sekali lagi. Hulur satu sampul surat. Dari ibunya. Di luar sampul surat tertulis kemas,

"Setelah Ma tiada lagi, kesolehanmu itu anakku yang menemani selama ibu bersemadi."

Tiada kata-kata keluar dari mulut Zam.
Kata-kata diganti dengan titisan air mata.

Air mata duka.
Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor