Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

View My Stats
My Ping in TotalPing.com
Free Auto Malaysia Backlinks
Powered by Blogger.

Written By Unknown on Monday, May 12 | Monday, May 12, 2014

Tunangku Tidak Tampan. 
Part 20 ( Season 2 )
Special
----- 

"Doktor, doktor! Pesakit dah sedarkan diri!"

Doktor dan jururawat bergegas mengerumuni. Periksa kondisi pesakit yang sedang terlantar di atas katil. Disuluh kedua-dua anak mata dengan medical pen light. Normal. Stabil. Nadi pun bagus. Detak jantung pun amat baik.

Mereka semua tersenyum memandang jejaka itu.

"Saya di mana ya?"

"Hospital besar. My God! Such a miracle!" Doktor cina itu menjawab dalam ketakjuban.

Jejaka itu agak bingung sedikit mendengarkan kata-kata doktor. Dia sendiri tidak merasakan apa-apa kesakitan pada tubuhnya. Cuma lenguh-lenguh dan letih. Seperti baru lepas berlari dari tempat jauh.

Setelah membuat sedikit pemeriksaan lanjut, doktor meninggalkan pesakitnya.

Zam meraba-raba kepalanya. Tak ada apa-apa luka. Tak ada apa-apa balutan dikenakan padanya. Dia pegang rusuknya. Selak bajunya. Ada kesan parut di pinggang kanan. Bawah sikit. Rusuknya tak terasa sakit apa-apa pun. Parut pun sudah lama kering. Bukan kering. Tapi, kelihatan sudah lama ia ada di situ.

Zam bingung lagi. Apa terjadi sebenarnya?

Seketika, ada seseorang yang dari tadi menanti doktor selesai tugasnya datang mendekati.

Zam tak kenal orang itu. Dalam lingkungan hampir 30. Lelaki.

"Saya Kamal bin Mohd Faizal. Panggil saja Bang Mal." Dihulurkan tangannya bersalam.

Zam menyambut huluran tangannya dalam fikiran yang buntu.

"Kamu ni siapa?" Zam memulakan soalannya.

Lelaki yang baru dikenalinya itu cuma tersenyum. Seraya menjawab,

"Ingat tak nama Faizal?"

Zam mengangguk. "Ingat, budak tingkatan 5 tu. Apa kaitannya dengan kamu?"

Sekali lagi senyum.

"Dia arwah ayah saya."

Zam terkesima. Terkejut. Terpana.

"Hah?! Apa ni? Saya tak faham!"

"Sabar. Bertenang. Saya akan terangkan satu persatu."

Zam pegang bahu Abang Kamal.

"Cepat. Saya nak tahu!"

"Baiklah. Pertama sekali awak kena percaya. Benda ini tidak mustahil terjadi. Malah, dalam al-Quran pada Surah al-Kahfi pernah terjadi sebagaimana Allah rakamkan kisah Ashabul Kahfi yang tidur selama 309 tahun. Begitu jua dengan kisah Uzair yang 'ditidurkan' Allah selama 100 tahun sehingga dikatakan jasadnya hancur menjadi belulang, kemudian dihidupkan kembali sebagaimana dicatat dalam Surah al-Baqarah ayat 259.

Begitulah jua yang terjadi pada kamu. Kamu dah koma selama 70 tahun. Namun, sangat ajaib kerana jasad kamu utuh. Tidak terjejas. Tidak menua. Tidak berkecai. Ini semua kerja Allah. Allah Maha Besar."

Zam terkejut sangat-sangat. Langsung tidak percaya. Dia lantas bangkit dari katilnya. Berlari keluar ke kaunter pendaftaran hospital. Dilihatnya kalendar dan suratkhabar. Terbeliak matanya. Benarlah. Benar sekali. Tarikhnya betul-betul 70 tahun di masa depan! Dah tanya orang-orang di sekeliling yang ada di situ. Semua jawab tahun yang sama.

Zam hampir jadi gila. Macam tak percaya. Sesekali dipejam matanya. Sesekali ditampar pipinya.

"Aku tengah bermimpi. Aku mimpi! Tuhan, tolong bangunkan aku kembali!"

Dibuka matanya. Segalanya sama.

Sekarang, Zam di masa depan.

**
Abang Kamal datang menenangkan Zam. Mengajaknya masuk balik bilik wad.

Zam menangis teresak-esak. Takut. Dia betul-betul takut. Banyak kali dia beristighfar. Mengucapkan nama Allah berkali-kali. Dia berada dalam dunia yang asing baginya.

"Begini. Arwah ayah saya dulu dah mengamanahkan kami sekeluarga jaga kamu sehingga kamu sedar kembali. Ayah sangat optimis dan yakin kamu akan kembali. Setelah kejadian di sekolahnya dulu, arwah sangat menyesal dengan perbuatannya. Akhirnya, arwah bertindak tukar ke sekolah lain. Setiap hari, arwah datang menziarahi kamu. Berkali-kali dia minta maaf. Arwah akhirnya berubah jadi orang yang lebih baik. Dunianya terbalik 360 darjah. Lebih suka kepada agama. Belajar tentang agama hingga ke timur tengah. Akhirnya kembali ke tanahair menjadi ustaz yang berjaya. Orang kenal dia sebagai Ustaz Faizal. Saban minggu, dia akan datang ziarah kamu dan menangis.

Ketika umurnya menjangkau 60-an, arwah telah ambil insurans nyawa. Dua tahun kemudian, arwah kemalangan jalanraya. Tapi, arwah telah insuranskan segalanya atas nama kamu. Untuk biayai bayaran wad khas kamu sepanjang hayat. Supaya doktor dan jururawat sentiasa monitor perkembangan kamu dengan baik.

Arwah sangat-sangat mahu kamu maafkan segala perbuatannya pada kamu. Allah lah yang menggerakkan segala perubahan. Ternyata, Allah mahu menjaga iman ayah dengan menemukan hidupnya dengan kamu. Jangan ada benci padanya, Zam. Ayah juga ada hati dan perasaan."

Abang Kamal sebak dalam kata-kata.

Zam mendengar penuh syahdu. Menitis air matanya berkali-kali juga. Syukur kerana tidak dibunuhnya Faizal ketika bertengkar dulu. Kalau tidak, dialah yang paling zalim dunia dan akhirat.

"Saya maafkan. Dia tak pernah salah. Dia tak salah. Saya yang salah buat dia merana seumur hidupnya begitu. Maafkan saya, maafkan saya."

Zam berlinangan air mata.

Abang Kamal memeluk Zam erat-erat. Menangis bersama.

***

Pintu bilik wad diketuk. Doktor cina tadi masuk.

"Boleh saya bertanyakan sesuatu?"

Zam mengangguk. Mempersilakan doktor itu duduk di sisinya.

"Islam itu bagaimana? Sebenarnya saya sungguh takjub sekali dengan kes kamu ini. Bagaimana mungkin 70 tahun koma, masih hidup dengan baik? Sains pun tak mampu menjawabnya."

Zam agak blur untuk menjawab soalannya dalam kapasiti ilmunya yang tidak sebegitu banyak. Umurnya baru 18 tahun untuk menjawab soalan yang sebegitu besar.

"Islam itu indah, doktor. Itulah yang dikatakan oleh seorang kawan saya. Dia kerja jaga sekolah. Dia kata, jika agama Islam itu teruk, sudah lama penganutnya rosak. Namun, orang Islam rosak bukan kerana agama. Mereka rosak kerana mahu bebas dari agama.

Dalam Islam, ada kitab suci iaitu al-Quran. Al-Quran itu selama-lama kandungannya benar. Kerana di dalamnya adalah kata-kata daripada Allah sendiri. Bukan kata-kata manusia. Tidak mungkin Nabi Muhammad s.a.w. yang buta huruf ketika itu, boleh mereka ayat-ayat yang tidak ada tolok bandingnya. Lebih indah dari syair arab. Lebih bagus dari puisi dan pujangga. Di dalamnya ada kisah klasik untuk masa depan. Ada cerita alam dunia dan alam akhirat. Ada kisah Syurga dan Neraka. Apa yang pernah terjadi pada kaum dulu kala, berulang kembali sifatnya di masa kini. Semua dah terakam dalam al-Quran.

Islam itu buat jiwa dan hati lebih tenang seandainya benar-benar dipraktikkan dalam kehidupan. Doktor jangan tengok pada umat Islam, mereka tidak suci sebagaimana agama Islam. Manusia ada buat salah. Mereka senang terpengaruh bila diri jauh dengan agama.

Di dalam Islam, mencintai Allah dan Rasul-Nya itu adalah lebih perlu diutamakan. Sebab itulah, sesiapa yang betul-betul mendekatkan diri kepada Allah, hatinya lapang. Hidupnya tenang walaupun penuh dugaan. Fitrah hamba, jiwanya bersandar pada Tuhan-Nya. Kita sayang ibu dan bapa kita sebab merekalah kita terlahir ke dunia. Begitulah hamba, sebab Allah-lah baru kita dan ibu bapa kita ada di dunia ni.

Saya sendiri pun tidak memahami apa yang berlaku pada diri saya. Tapi, saya fahami dengan baik, Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kun fayakun. Apa saja yang Dia nak terjadi, mampu terjadi dengan mudah sekali."

Doktor cina itu tersenyum.

"Ajarkan saya tentang Islam. Mulai hari ini, saya juga nak jadi pencinta Allah dan Nabi Muhammad."

Zam tambah sikit lagi ayatnya,

"Abang jaga tu ada sebut mengenai sebuah kitab bernama Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali. Dinukilkan di dalam itu kata-kata dari Allah dengan maksudnya,

'Barangsiapa mencari-Ku dengan kebenaran, maka ia akan mendapatiku. Barangsiapa mencari selain-Ku, maka ia tidak akan mendapati-Ku. Wahai penduduk bumi, tolaklah tipuannya yang ada padamu. Marilah menuju kepada kemuliaan-Ku dan persahabatan dengan-Ku. Senanglah kepada-Ku, nescaya Aku senang kepadamu dan Aku bersegera pada cintamu.'"

Doktor nampak sebak. Bergenang air mata mendengar kata-kata Zam.

Zam dan Abang Kamal tersenyum. Tidak lama kemudian, dengan izin dan hidayah Allah, doktor cina itu pun memeluk Islam dengan melafazkan kalimah keramat syahadah.

"Selamat kembali ke sisi agama Allah."

Abang Kamal memeluk doktor cina itu. Zam pun sama. Mengalu-alukan saudara baru ke agama yang suci itu.

Dari situ, Zam terfikir. Mungkin ada hikmah yang lagi besar di sebalik apa yang terjadi pada dirinya.

Mungkin ada rahmat di sebaliknya.

***

"Wah, pusat tahfiz seluas ini milik arwah ayah kamu?"

Zam kagum seketika bila sampai di kawasan rumah Abang Kamal.

Dilihatnya sekeliling. Memang canggih dengan teknologi moden cukup lengkap. Pelajaran pondok serba moden. Talaqqi kitab ala tradisional tapi dibantu dengan peralatan dan teknologi masa depan memang buat jejaka itu tak berkelip mata melihatnya.

Namun, pusat pengajian yang sebegitu luas dan besar tidak ramai penghuninya.

"Kenapa pelajarnya sedikit saja?" Zam bertanya.

Abang Kamal hulurkan air oren kepada Zam. Menjawab tenang.

"Perasan tak sepanjang jalan ke sini, kita lalui bandaraya metropolitan, ada tak remaja yang berjubah? Berbaju kurung? Pakai tudung? Pakai kopiah?"

Zam mengerutkan keningnya.

"Tak nampak pun."

Abang Kamal tersenyum lagi.

"Selamat datang ke masa depan. Inilah gaya hidup orang zaman sekarang. Sejak zaman arwah ayah, bibit kejatuhan Islam di negara kita begitu ketara sekali terlihat. Demokrasi tiada erti. Liberalisasi mengambil tempat. Sekularisme jadi adat. Ramai mulai cenderung ke arah sosialisme, marxisme, dan komunisme. Akhirnya, isme-isme ini mengambil alih tempat dalam masyarakat. Namun, semua isme-isme yang kononnya hebat ini tidak selari dengan Islam. Islam lebih syumul dan murni tanpa berkepentingan apa-apa.

Makin kurang yang mahu mengambil Islam sebagai pegangan. Mereka mengkritik Islam habis-habisan seolah-olah agama ini sudah tidak relevan lagi. Golongan anti-hadis menular. Golongan kaya makin kaya, golongan miskin terus miskin. Politik kotor bermaharajalela. Syiah meresap dalam masyarakat. Ahlussunnah wal jamaah ditentang mati-matian. Ahli agama yang makin sedikit pula tak habis-habis bergaduh hujah sesama sendiri yang buat orang makin benci kepada agama Islam.

Penyakit yang paling teruk sekali hari ini, berpunca dari keghairahan setiap manusia ingin jadi selebriti segera. Zaman arwah ayah dulu dengan facebook dan twitter, instagram dan bermacam lagi. Semua itu akhirnya makan diri sendiri. Remaja yang mengejar populariti ketika itu, sambung menyambung monarki populariti kepada anak-beranak dan keturunan."

Zam terkebil-kebil. Cuba memahami.

"Sekarang, bagaimana remajanya?"

"Sekarang. Remaja majoritinya rosak akhlak. Yang ada rupa disanjung tinggi. Dijadikan selebriti. Seolah-olah dunia ini dunia hollywood. Dunia barat semuanya. Malu entah ke mana. Maruah diabai saja. Begitu banyak realiti tv muncul silih berganti. Semuanya nak berada depan lensa. Buat benda bodoh pun tak mengapa, janji depan lensa."

Zam nampak serius mendengarnya. Ini masalah umat yang begitu besar.

"Jadi, apa patut saya buat?" Zam mengeluh rasa tak berdaya.

Abang Kamal tersenyum.

"Arwah ayah dah plan sesuatu dengan begitu teliti pada kamu. Dana yang begitu besar juga telah disimpan untuk kamu."

Zam tak faham.

"Plan apa ya?"

"Plan untuk menjadikan kamu hero dalam kehidupan remaja hari ini. Oleh kerana remaja hari ini, gilakan populariti. Jadi, kamu kena ranapkan seluruh populariti mereka dengan populariti kamu. Kemudian, sebarkan dakwah melalui populariti yang diraih!"

Zam terkesima.

"Bila masa saya popular? Saya ada apa? Tak ada apa-apa. Belajar pun tak pandai. Muka pun berparut sini-sana."

Abang Kamal tersenyum lebar. Dibawanya Zam ke depan cermin yang sangat besar.

Zam terkejut besar. Kelihatan macam wajahnya. Tapi macam bukan dia. Dia meraba-raba wajahnya sendiri. Parutnya sudah tiada. Licin kulitnya. Putih tidak segelap dulu. Halus lembut saja.

"Eh, ini saya ke? Apa dah jadi dengan parut saya?"

Abang Kamal menjawab ringkas,

"Parut di kulit kamu telah dirawat dengan laser canggih. Kulit kamu telah mengalami penstrukturan semula sel-sel. Semuanya berlaku secara semulajadi tanpa kesan sampingan ketika kamu koma. Jangan risau, tidak ada pembedahan plastik yang haram dijalankan pada wajah kamu. Semua berlaku natural dengan izin Allah. Mungkin kamu dari masa lalu, jadi kulit kamu tidak terdedah pada debu dan udara kotor di luar hospital."

Zam berkali-kali istighfar lihat wajahnya sendiri.

Abang Kamal mencelah,

"Kamu tak tahu, kamulah lelaki paling kacak di wilayah ini. Maybe di luar sana juga. Kamu tak perasan ke seluruh jururawat di hospital memandang kamu tak berkelip mata?"

Barulah Zam perasan. Dia sangka orang tengoknya kerana mukanya yang hodoh berparut.

"Macam mana? Kamu ON tak dengan plan arwah ayah? Kalau setuju, saya akan hantar kamu talaqqi kitab dan belajar al-Quran dengan ulama-ulama yang masyhur yang masih ada sekarang. Tapi mereka semua ini tersorok di pelosok dunia atas sebab-sebab keselamatan. Jangan risau tentang kos dan perbelanjaan. Semua ditanggung beres. Kamu hanya perlu sabar belajar selama 5 hingga 6 tahun. Kemudian, balik ke negara ini semula setelah habis belajar. Saya akan aturkan segalanya untuk kamu.

Yang paling penting sekarang, kamu nak selamatkan ummah atau tidak? Nak tolong agama ini atau tidak?"

Zam berdiri tegak. Menjawab dengan yakin.

"Saya cuma mahu Syurga. Bantu saya ke arah itu. Saya sanggup lakukan segalanya!"

Abang Kamal tersenyum lebar. Jejaka di hadapannya itu memang betul bukan sebarangan orang. Arwah ayahnya tak salah pilih.

***

Zam melangkah tenang ke gelanggang pertandingan. Pentas yang sangat luas dan besar. Lampu-lampu dipancarkan kepadanya.

Jejaka yang baru pulang ke tanahair setelah 6 tahun menimba ilmu di pelusuk dunia. Kini, berdiri di pentas realiti.

Sesungguhnya Zam amat membenci dunia gila populariti ini semua. Teringat kata-kata seorang alim,

Ibnu Mas’ud berkata, “Jadilah kamu sumber ilmu pengetahuan, pelita bagi petunjuk, alas rumahtangga, lampu yang menerangi kegelapan malam dan pembangkit semangat baru bagi hati serta pakaian yang usang. Dengan demikian, nescaya kamu akan dikenal oleh para penghuni langit dan kamu tidak akan dikenal oleh para penghuni bumi.”

Sesungguhnya para ulama dan cendekiawan Islam dulu-kala amat takut pada fitnah populariti keduniaan. Kerana fitnah inilah yang mampu menghalang mereka dari memasuki Syurga Allah.

Zaman yang Zam berdiri sekarang adalah akhir zaman. Zaman ini, hanya kata-kata orang popular yang didengari. Hatta kata-kata itu kata-kata yang bodoh dan tidak bermakna, ianya tetap diquote serta disanjung puja.

Zaman yang pelik. Tapi, inilah hakikat yang Zam perlu telan.

"Selamat datang ke rancangan realiti tv paling popular abad ini! Hari ini kita ada beberapa peserta yang terpilih untuk berentap di peringkat akhir. Mereka ini semua berbakat besar! Ingat, undi di tangan anda semua!"

Hos memulakan program.

Dalam rancangan ini, yang menang akan beroleh 50 juta dollar. Sekaligus dinobatkan sebagai manusia paling popular di dalam negara. Pelbagai bakat diketengahkan. Ada penyanyi, penari, pelawak, dan sebagainya.

Satu demi satu peserta tampil memberikan persembahan yang terbaik. Ada yang mendapat tepukan gemuruh. Ada yang mendapat hamburan cacian dan kejian. Dilempar telur busuk dan tomato buruk. Jutaan lautan manusia hadir menyaksikan di stadium negara itu termasuklah para wartawan luar negara dan tanahair. Raja dan menteri-menteri turut hadir.

Zam sedikit berdebar. Dia berdiri di situ bukan sebagai penyanyi. Bukan juga penari. Atau pelawak. Dia berdiri di situ sebagai muslim yang ada misinya tersendiri.

Namun, dari apa yang Zam perhatikan, peserta yang cantik jelita mendapat tepukan ramai. Undian pada mereka juga tinggi.

Sampailah kepada giliran Zam.

Zam menapak ke tengah-tengah pentas. Berdiri tegak. Tenang saja. Tepukan gemuruh bergema. Lensa-lensa serta lampu diarah terus kepada jejaka itu. Wajahnya terpampang di skrin-skrin gergasi yang ditayang di dalam stadium, luar stadium dan seluruh televisyen kala ini.

Penonton terkesima seketika melihat wajah Zam.

Tampan. Sangat tampan. Putih dan cerah. Suci bersih. Sejuk mata dan hati melihatnya. Peminat-peminat fanatik Zam begitu ramai sekali. Mengangkat banner dan sepanduk gergasi dengan namanya tertulis sebegitu besar. Sepanjang pemilihan program, Zam telah berjaya menarik perhatian ramai dengan bakatnya yang unik dan personalitinya yang sangat mencairkan hati manusia yang melihatnya. Gamat stadium bila Zam muncul.

Tampil ringkas lengkap set baju melayu putih dan berkopiah putih. Dengan senyuman.

Juri mula bertanyakan soalan.

"Hari ini kamu akan buat persembahan apa? Ketika pemilihan, kamu telah bernasyid, mendengarkan alunan bacaan al-Quran, qasidah dan tazkirah. Kami sepuluh orang juri di sini berasa pelik kerana kamu diterima baik oleh para penonton. Malah, kamu sentiasa mendapat undian tertinggi dari seluruh pelusuk negara.

Adakah hari ini kamu masih akan menyampaikan tentang agama kamu, iaitu Islam sedangkan kamu tahu sejak 20 tahun yang lepas, ramai dari rakyat di negara ini telah pun keluar dari agama itu?"

Zam tersenyum,

"Hari ini saya cuma akan bercerita suatu kisah benar mengenai diri sendiri. Ya, saya masih tetap akan sampaikan mengenai agama Islam. Sebab, bagi saya, ianya adalah jiwa saya. Saya tanpa agama umpama jasad tanpa roh. Agama Islam tidak pernah membosankan. Makin dekat saya pada agama, makin dekat hati ini dengan Allah. Begitulah sebaliknya."

Kemudian Zam tersenyum dan melambaikan tangannya pada para penonton. Tepukan gemuruh diberikan lagi dan lagi. Ada yang hampir histeria melihat Zam live di depan mata.

"Mulakan persembahan kamu."

Zam mulakan tuturnya.

"Tahukah anda semua, saya datang dari masa lampau? Jika anda tidak percaya, doktor yang merawat saya ada di sini untuk mengesahkannya."

Penonton-penonton hingar-bingar. Gamat seketika.

Juri bersuara,

"Silakan doktornya tampil mengesahkan!"

Seorang doktor cina diberikan mikrofon.

"Benar apa yang beliau katakan. 6 tahun yang lepas, beliau telah sedar dari koma yang panjang iaitu selama 70 tahun. Di sini, saya bawa sekali laporan hospital besar dan hospital negara mengenainya."

Bukti berdokumentasi diserahkan kepada para juri dan ditayangkan ke skrin besar.

Penonton-penonton takjub dengan insiden ini. Ramai yang bangun dan menjerit,

"Kami nak tahu lebih lanjut tentang ini! We want more!"

"Ceritakan siapa kamu sebenarnya!"

Zam bersuara,

"Bertenang semua. Inilah yang saya akan ceritakan.

Sungguh. Saya sendiri pun hampir tidak percaya apa yang telah berlaku pada diri saya. Tapi, ini adalah kisah benar yang dialami oleh saya.

Sekembalinya saya ke tanahair, saya telah diberikan sebuah diari oleh Abang Kamal, saudara yang menjaga saya selama ini. Beliau telah menguruskan segala pembiayaan pendidikan saya di luar negara.

Diari ini bukan milik saya. Diari ini milik seorang wanita yang saya kenali namanya sebagai Cik Yuyu.

Cik Yuyu adalah pelajar tingkatan 4 di zaman saya dulu. Saya tak sempat mengenalinya lebih lanjut.

Pada suatu hari, saya telah terlibat dalam pergaduhan rakan sekolah sehingga kepala saya cedera. Sehinggalah mulai detik itu, saya koma."

Zam menarik nafas panjang. Penonton tak sabar-sabar tahu sambungan ceritanya.

"Dalam diari ini, tertulis catatan Cik Yuyu. Anda semua nak tahu apa isinya?"

"Nak!"

Satu stadium menjawab excited.

"Baiklah, saya bacakan untuk anda."

"Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Zam.

Ini saya, Yuyu. Saya tak pasti bila awak sedar nanti, ingatan awak masih baik. Ataupun awak dah hilang ingatan. Namun, jika benar terjadi sedemikian. Izinkan saya perkenalkan diri sekali lagi.

Saya, Cik Yuyu.

Pertama kali saya kenal awak, ketika di kantin sekolah. Saya masih ingat dengan jelas lagi, di saat pelajar-pelajar lelaki mengusik saya, menyakat dan buat satu bulatan melingkungi diri saya sambil mata mereka melihat saya seperti singa lapar. Saat mata mereka meratah segenap tubuh saya.

Saat itulah, awak muncul. Campak air sirap pada mereka. Kemudian, awak bangun berdiri. Awak katakan maruah seseorang wanita itu mahal harganya. Ketika itu, hati ini terusik ke lubuk yang paling dalam. Masih wujud pemuda berjiwa agama dalam dunia hina ini.

Awak tumbuk salah seorang dari mereka. Awak marah mereka. Tapi marah awak tu, marah berhikmah. Bukan nak tunjuk hero. Bukan nak jadi penyelamat. Tapi marah awak ketika itu, kerana tak sanggup maruah wanita dipersenda begitu sahaja.

Bagi saya, awak tetap hero.

Zam yang saya kenal di sekolah, setiap hari saya dengar kawan-kawan bercerita buruk tentang awak. Mereka kata awak gengster. Mereka kata awak jahat dan tak guna. Hanya memburukkan nama sekolah. Tapi, saya optimis bila lihat awak nampak berusaha untuk jadi lebih baik. Saya tak tahu siapa yang menyebabkan awak berubah.

Tapi saya yakin, hidayah itu dari Allah. Kasih sayang Allah yang buat awak berubah.

Tak lama lepas tu, saya dapat berita awak kehilangan ibu tersayang. Ketika itu, saya juga merasakan sedihnya walaupun tidak diluahkan dengan kata-kata. Saya tengok motor awak parking di sekolah. Bocor. Jadi, saya minta tolong abang jaga tukarkan tayar. Saya letakkan keychain milik saya di kunci motor awak.

Ingat tak keychain tu? Supaya setiap kali tengok benda tu, awak ingat untuk jadi lebih baik. Awak rasa nak jadi pemuda Syurga. Apapun, saya lebih rela awak ingat Allah daripada awak mengingati pemberian saya. Tak lupa juga kotak rokok terakhir awak.

Awak tahu tak, bagai nak gugur jantung ini bila dapat tahu awak dikejarkan ke hospital. Saya harap, saya dapat berada di sisi awak ketika itu. Tapi, teacher kelas awak kata dia nak jaga awak sampai awak sedarkan diri.

Saya dapat berita yang lebih mengejutkan. Doktor kata otak awak ada darah beku. Kena operate. Natijahnya, setelah pembedahan, awak koma.

2 bulan selepas itu, saya dapat tahu teacher yang jaga awak akhirnya bernikah dengan Cikgu Syabab. Lepas itu, tiada sesiapa lagi yang datang menziarahi awak kecuali Faizal. Abang jaga datang juga melawat, tapi sebelum saya exam SPM, saya dapat berita sedih abang jaga ditimpa kemalangan dan meninggal dunia.

Masa hari abang jaga meninggal, tekanan jantung awak pun bermasalah. Detak jadi lemah sehingga doktor-doktor cemas menyelamatkan awak. Seolah-olah awak memahami apa yang sedang terjadi di sekeliling. Namun, selepas itu awak stabil kembali.

Setelah habis SPM, saya apply kerja jururawat. Sengaja saya pilih kerjaya itu supaya saya dapat bertugas di hospital awak diwadkan. Saya gembira sekali saya dapat posting ke hospital yang saya nak.

Akhirnya, setiap hari saya dapat lawat awak. Tengok awak. Cakap dengan awak. Walaupun awak sikit pun tidak berikan respon.

Saya nak sangat awak bangun, sembuh kembali dan cakap pada saya,

'Aku nak Syurga!'

Tapi sehingga umur saya 25 tahun, bibir awak masih diam. Tidak sepatah pun berbicara.

Ramai jejaka mulai approach saya untuk jadikan isteri. Tapi saya tolak kesemuanya. Hinggalah saya digelar andalusia. Umur mencecah angka tiga di depan. Saya tidak peduli apa orang kata.

Sebab hati ini, sekali cinta adalah untuk selamanya. Mungkin saya bodoh, saya degil. Tapi, degil saya itu bersebab.

Bila lihat awak, hati ini makin mahu dekat pada Allah.

Tiap hari, saya datang jumpa awak. Baca al-Quran di sisi awak. Setiap hari saya dengan al-Quran kerana saya tahu pemuda di depan saya ini terlalu inginkan Syurga. Mengapa tidak saya juga cuba menggapainya?

Sayang ini, Allah yang campakkannya dalam hati saya. Bukan orang lain. Bukan sesiapa. Sehingga saat saya titipkan tulisan ini, Allah masih tidak lunturkannya dari hati saya.

Cinta ini tidak bersyarat. Kalau di dunia tidak bersama, biarlah di Syurga ditemukan semula.

Beberapa tahun kemudian, doktor-doktor mengesahkan buah pinggang awak rosak. Mungkin kerana ianya sudah lama hilang fungsi. Jika tidak dibedah, nyawa awak terancam.

Saya terima berita ini dengan begitu sedih sekali. Orang yang saya sayangi sedang kritikal. Jadi, saya tekad untuk dermakan buah pinggang milik saya.

Pembedahan dijalankan serta merta.

Saya bertawakkal sepenuhnya pada Allah. Hidup kerana Allah. Mati pun biarlah kerana Allah. Mati berkorban untuk selamatkan nyawa orang lain kerana Tuhan, matinya mati syahid.

Pembedahan selesai. Syukur alhamdulillah, buah pinggang saya diterima baik dalam badan awak. Saya gembira. Akhirnya, diri saya sebahagiannya ada dalam diri awak.

Namun, berita duka pada saya. Buah pinggang saya yang tinggal satu itu mengalami komplikasi teruk bila cuba berinteraksi normal dengan organ dalam badan sendiri. Bukan mudah, selama ini ada dua buah pinggang, tiba-tiba tinggal satu. Allah dah jadikan dengan sebaik-baik kejadian. Ada sebab Allah cipta mata ada sepasang, telinga sepasang, buah pinggang sepasang. Supaya kita ingat, tanpa Allah.. Kita bukanlah sesiapa. Cuma hamba-Nya.

Tiga bulan yang penuh derita. Muntah darah yang teruk. Tak mampu berjalan. Tubuh makin susut. Bila makan saja, muntah balik.

Hari ini, saya minta hospital letakkan katil saya di sebelah katil awak. Supaya saya tenang dapat tengok orang yang saya sayang.

Saya betul-betul harap, saat-saat saya kembali kepada Tuhan, awak akan buka mata dan kata,

'Yuyu, jangan pergi. Yuyu, jangan putus asa!'

Tapi, ajal itu pasti datang walaupun manusia bersembunyi dalam tembok yang kebal.

Saya tahu saya akan pergi.

Islam itu sangat cantik, Zam. Allah itu Maha Indah. Benarlah, bila hati tulus pada-Nya. Dia jua akan tulus pada kita. Bila kita cintai Allah sepenuh hati. Cinta kita jua akan terbalas. Tidak ada cinta pada Allah yang bertepuk sebelah tangan. Patutlah Nabi Muhammad s.a.w. menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah. Kerana bertemu Allah itu lebih indah dari Syurga.

Maafkan saya, Zam. Tak dapat jaga awak lagi. Terima kasih kerana selama ini baik dengan saya.

Saya pernah lihat sepasang cincin yang cantik tapi murah sahaja. Impian saya untuk lihat awak sarungkannya di jari manis saya.

Tapi Allah lebih mengetahui apa yang saya tidak tahu.

Jagaan Allah, lebih baik dari jagaan saya atau sesiapa.

Selamat tinggal, Zam. Moga jadi pemuda agama yang putih hatinya.

Ingatlah bila awak sedar nanti, hati ini pernah menyintai.

Yang sentiasa optimis dirimu akan pulih,

Cik Yuyu."

Zam menitiskan air mata.

Audiens diam seketika. Ramai yang mengalirkan air mata. Syahdu. Ada jua yang menyebut nama Tuhan semula. Ada jua yang mulai kembali pada Islam semula.

Juri-juri ada yang mengesat air mata. Sebak tidak terkira.

Betapa besarnya pengorbanan seorang gadis yang kudratnya tidak seberapa. Cuma berlandaskan iman tahap tinggi. Berlantaikan hati cinta kerana Allah.

**

Semua penonton berdiri,

"Kami nak Zam jadi juara!!"

"Kami nak Zam!!"

"We want Zam!!"

"Give it to him!!"

Akhirnya, semua peserta lain tewas!

Jejaka itu dinobat sebagai juara!

Pihak penganjur mulai resah. Mereka mengharapkan bukan calon Islam yang menang. Bukan orang Islam yang menaiki takhta.

Sesuatu perlu dilakukan.

Lampu stadium dipadamkan tiba-tiba.

Kecoh habis seluruh rakyat jelata dalam stadium. Hiruk-pikuk kedengaran sana sini.

10 minit kemudian, lampu dinyalakan.

Pemuda yang bernama Zam itu terbaring tidak bermaya di lantai pentas.

Kepalanya berdarah. Ada batang besi di sisinya. Sabotaj tangan-tangan jahat.

Orang Islam tak boleh menang! Islam tidak boleh popular!

Zam terbayang-bayang wajah-wajah yang dikenalinya silih berganti. Matanya semakin kabur. Abang jaga muncul dalam bayangannya berkata-kata,

"Maulana Wahiduddin Khan menceritakan, Abu Umamah meriwayatkan bahawa seseorang mendatangi Rasulullah s.a.w. dan bertanya tentang orang yang berperang untuk mendapatkan material dan meraih populariti. Orang itu ingin tahu pahala apakah yang akan didapatkannya. “Tidak ada,” jawab Nabi. Orang tersebut mengulangi pertanyaannya hingga tiga kali, namun jawapan Nabi tetap sama. “Amal yang diterima Allah,” tambah Nabi SAW, “..adalah yang didasari keikhlasan dan ditujukan semata-mata kepadaNya.”

Benarlah. Dakwah tidak pernah berdiri atas dasar populariti. Rasulullah sendiri bermula dari bawah, Allah lah yang mempopularkannya di langit dan bumi.

Pandangan di depannya gelap.

**

"Zam, zam!"

Zam membuka matanya perlahan-lahan.

"Dah 6 jam kamu tak sedarkan diri."

Zam lihat abang jaga berada di sisi. Teacher dan yang lain mengelilingi di sisi katil. Semua menanti Zam.

Zam blur. Mengucap panjang.

Diraba-raba wajahnya.

Parut masih ada.

Zam pegang tangan abang jaga,

"Sekarang tahun berapa?"

Abang jaga tersenyum,

"Tahun lepas kau SPM. Kau kena pukul sampai hilang ingatan eh?"

Zam terkebil-kebil. Senyum bingung.

Dia terpandang seraut wajah di depannya.

Zam senyum lebar-lebar.

Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 Org je Komen:

NickIbnor© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor